Saya melihat debat merupakan satu platform atau medan yang tepat dalam membentuk demokrasi yang matang dan positif. Hal ini kerana melalui perdebatan rakyat akan didedahkan dengan pelbagai maklumat dan fakta yang benar.

Jadi, sebagai anak muda Johor saya mencabar Pengerusi Pakatan Harapan Johor yang juga bekas pemimpin Johor iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin berdebat dengan Exco Penerangan Johor, Datuk Haji Ayub Rahmat di hadapan rakyat Johor.

Perdebatan ini bukanlah untuk mengeruhkan lagi keadaan politik di Johor. Tetapi ia hanya untuk melihat sejauh mana perbincangan dari kedua-dua pihak ini untuk menentukan hala tuju negeri Johor pada masa akan datang.

Apatah lagi, Muhyiddin Yassin telah mendakwa bahawa Kerajaan UMNO Johor sedang retak menanti belah. Jadi inilah masa dan peluang yang perlu di rebut oleh Muhyiddin Yassin untuk membentangkan segala fakta tentang dakwaannya di hadapan rakyat Johor.

https://sarawakvoice.com/wp-content/uploads/2016/07/muhyiddin_0000.jpg

Begitu juga dengan Datuk Haji Ayub Rahmat, perlu merebut peluang ini untuk menjawab segala kritikan dan tuduhan pembangkang ke atas negeri Johor agar semua rakyat dapat mengetahui kebenarannya.

Bagi saya perdebatan antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Datuk Haji Ayub Rahmat akan memberi gambaran yang jelas tentang situasi sebenar politik di Johor.

Oleh itu, adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Ayub Rahmat berani menyahut cabaran ini? Kita sama-sama nantikan.