Di Malaysia, perbincangan mengenai kos sara hidup sering dikaitkan dengan inflasi khususnya paras harga umum bagi makanan, harga rumah dan harga bahan api.

Sebenarnya inflasi dan kos sara hidup ialah dua perkara yang berbeza. Perkara ini telah lama dibahaskan oleh pakar ekonomi. Secara ringkas, inflasi ialah petunjuk kepada perubahan dalam harga barangan dan perkhidmatan.  Kos sara hidup merupakan jumlah perbelanjaan isu rumah terhadap barangan dan perkhidmatan yang berlaku secara harian.

Semenjak tahun 2015 hingga sekarang, harga makanan seperti ikan dan daging mencatatkan kenaikan agak tinggi. Golongan berpendapatan rendah atau B40 dikatakan terjejas teruk dan terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup.

Hal ini kerana mereka terpaksa memperuntukkan sebahagian besar perbelanjaan harian terhadap makanan. Itulah biasanya gambaran yang diberikan mengenai kenaikan kos sara hidup dan bagaimana ianya dikaitkan dengan inflasi.

Pandangan sedemikian samalah dengan mengatakan pengguna kita terutamanya golongan B40 tidak bijak. Mereka diandaikan tidak dapat mengubah corak penggunaan mereka. Mengikut pakar ekonomi, ini ialah andaian yang salah.

Dalam realiti, dengan peredaran masa pengguna termasuk B40 akan mengubah corak penggunaan mereka. Pengguna adalah rasional dan mereka akan membuat pilihan bagi mendapatkan barangan dan perkhidmatan yang diperlukan.

Malangnya, agensi pembuat dasar di negara kita masih berpegang kepada andaian di atas (golongan B40 terhimpit dengan kos sara hidup). Sehubungan itu, polisi atau strategi membendung inflasi diberi keutamaan untuk mengatasi masalah kos sara hidup.

Perkara ini bukan baharu, semenjak tahun 90-an lagi kerajaan mencanangkan program bertujuan untuk menghasilkan inflasi sifar. Tetapi ternyata usaha tersebut gagal. Angka terbaru pada bulan Januari 2018, inflasi negara kita berada pada aras 2.7 peratus (NST 21 Mac, 2018).

Inflasi sifar hanya berlaku dalam ekonomi maju seperti di kebanyakan negara Eropah Barat. Bagi sebuah negara yang sedang meningkat ekonominya, inflasi merupakan salah satu ciri utama.

Sehubungan dengan itu, penubuhan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup  Negara (NACCOL) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini merupakan satu langkah yang tepat.

NACCOL diharap tidak hanya memfokuskan kepada usaha membendung inflasi semata-mata. Negara membangun biasanya berhadapan dengan kewujudan struktur monopoli, kartel dan kolusi di kalangan pengeluar.

Usaha untuk memecahkan monopoli akan mengambil masa yang lama dan kompleks.

Sebenarnya apabila kerajaan memperkenalkan polisi pemberian subsidi bersasar seperti BR1M, menyediakan prasarana pengangkutan awam yang cekap seperti MRT, memperbanyakkan perumahan PRIMA  – semuanya merupakan strategi yang berkesan untuk menangani masalah kos sara hidup.

Di samping itu, usaha berterusan perlu dicari untuk meningkatkan pendapatan penduduk dengan menjayakan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), memajukan pendidikan pengurusan kewangan dan mempromosi pendidikan kepenggunaan.

Strategi tersebut lebih mampan dan lestari berbanding dengan usaha membendung inflasi semata-mata. Pengalaman negara kita dan banyak negara lain di dunia menunjukkan inflasi sifar tidak mungkin dicapai selagi pertumbuhan KDNK  adalah positif. — Sarawakvoice