Gagasan Sejahtera janji hapus GST, turunkan harga rumah mampu milik

0
4

CYBERJAYA: Sama seperti Pakatan Harapan, Gagasan Sejahtera juga berjanji untuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) jika berjaya menubuhkan kerajaan selepas pilihan raya umum ke-14.

Menurut janji berkenaan, GST akan digantikan dengan sistem cukai yang lebih adil, namun tidak pula dinyatakan sistem berkenaan.

Janji itu terkandung dalam manifesto Malaysia Sejahtera yang menawarkan 20 perkara utama.

Gagasan Sejahtera yang diterajui PAS turut berjanji untuk mengurangkan harga rumah mampu milik antara RM50,000 hingga RM180,000 dan mengembalikan sistem kuota di universiti awam.

Gagasan Sejahtera terdiri daripada Ikatan, Berjasa dan ratusan pertubuhan bukan kerajaan.

Foto : Izzah Jasmon

Pengerusi Gagasan Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tawaran berkenaan adalah bagi menyelesaikan bebanan rakyat untuk jangka masa pendek dan panjang.

“”Kita akan  lupuskan hutang peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana kalau tak ada ketirisan, peruntukan yang ada cukup untuk meringankan beban pendidikan anak muda,” katanya pada sidang media pelancaran manifesto berkenaan di sini, semalam.

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS berkata, kadar bayaran tol akan distruktur semula bagi meringankan beban rakyat.

“Kadar tol sepatutnya semakin hari semakin turun, bukan semakin hari semakin naik,” ujarnya. –Sarawakvoice