Jika masih ada yang ragu-ragu kononnya PAS akan menjalinkan kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) atau membantu BN mengekalkan kuasanya  dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14, maka ucapan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di dalam ceramah Sempena Himpunan Bangkit Pertahan Kelantan di Padang Perdana, Kota Bharu, Kelantan, malam tadi sepatutnya mampu melenyapkan terus perasaan ragu-ragu mereka terhadap PAS ini.

Ini kerana, dalam ceramah itu, Abdul Hadi secara jelas, lantang dan terbuka menegaskan komitmen PAS untuk bukan sahaja melawan Pakatan Harapan, tetapi juga untuk melawan BN selagi pendekatan “Islam diperintah, bukannya Islam yang memerintah” tidak diubah.

Sama-sama kita hayati petikan ucapan Abdul Hadi ini sepatah demi sepatah.

“Mereka yang sanggup bersama Islam mesti sanggup menghadapi tentangan dari segenap penjuru. Siapa sahaja menyekat menghalang cita-cita kita, kita lawan.”

“Pilihan raya ini kita akan lawan Barisan Nasional. Kenapa? Kerana mereka sudah memerintah 60 tahun. Mereka tidak memperkasakan Islam. PAS bersama ketika berjuang untuk kemerdekaan. PAS mendesak bersama meletakkan Islam adalah agama Persekutuan, agama-agama lain diberi hak kebebasan.

Bila Islam agama Persekutuan, Islam mesti memerintah. Sekarang Islam tidak memerintah, Islam diperintah. Bukan Islamnya memerintah, Islam diperintah. Ini perbezaan antara PAS dengan Umno dengan Barisan Nasional dengan Perikatan dulu. Selagi pendekatan ni tak diubah, pilihan raya ni kita lawan.”

“Pakatan Harapan, DAP terang-terang menyatakan penentangan terhadap Islam, tak setuju dengan Islam, parti-parti lain yang bersama dengan DAP jadi lembu kenyang, tak berani nak mempertahankan Islam.”

“Maka PAS akan bersendirian dengan rakan-rakan Parti Ikatan, akan bertanding pilihan raya ini secara bersendirian dengan rakan-rakan kita, menentang Barisan Nasional menentang Pakatan Harapan, dengan keyakinan, insya Allah, kalau dapat “simple  majority” boleh memerintah. Ataupun dapat kerusi-kerusi, 40, 50, 60 kerusi, menjadikan kita “king-maker”, semua parti tidak boleh tubuh kerajaan melainkan akan tanya kita, di masa itu kita boleh meletakkan syarat-syarat yang kita mahu, kita ada kekuatan.”

“Untuk mencapai ini, maka Kelantan mesti dipertahankan, Kelantan mesti dimenangkan.” –Sarawakvoice

Dr Kamarul Zaman Yusoff

Penulis ialah penganalisis politik dan pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM)