Sesiapa pun yang mengikuti atau  membaca manifesto Pakatan Harapan (PH) yang diumumkan baru-baru ini tentunya akan bertanya, “ini janji untuk membawa Malaysia ke arah lebih maju dan berjaya, atau sekadar janji untuk menang PRU-14 semata-mata?”

Dengan 60 janji teras dan lima iltizam, manifesto PH untuk PRU-14 boleh disifatkan agak komprehensif, dirangkum dalam lima teras iaitu, 1) kos sara hidup, 2) refromasi institusi, 3) keadilan ekonomi, 4) MA63, dan 5) polisi yang inklusif dan moderat. Manifesto PH juga turut memberi tumpuan kepada lima golongan sasar iaitu Felda, masyarakat India, anak muda dan warga emas.

Namun begitu, dari perspektif ekonomi dan pembangunan negara, banyak pihak menyifatkan  manifesto PH tidak lebih daripada sekadar ‘gula-gula’ untuk memenangi PRU. Antara ‘gula-gula’ yang hendak disajikan ialah seperti berikut:

  1. Menghapuskan GST
  2. Gaji Minimum RM1500 sebulan
  3. Memberi subsidi harga padi
  4. Subsidi minyak
  5. Subsidi kesihatan RM500 sebulan kpd anak muda (berpendapatan bawah RM3000)
  6. Pemberian insentif perkahwinan RM500, bagi yang berumur bawah 35 tahun
  7. RM50 sebulan (KWSP) untuk suri rumah
  8. Pemberian wang sara hidup RM2000 sebulan kepada peneroka FELDA
  9. Dana Pemerkasaan dan Keusahawanan Anak Muda –RM1 billion setahun
  10. Menangguh bayaran PTPTN sehingga peminjam berpendapatan RM4000 sebulan.
  11. Menambah royalti petroleum kepada 20 peratus kepada Sabah dan Sarawak
  12. Pemberian kepada Kampung Baru Cina (RM60 juta setahun)
  13. Pendidikan percuma (daripada tadika kepada universiti)

Manifesto PH jelas mengutamakan faedah kepada individu (rasionaliti individu) berbanding dengan kepentingan negara (rasionaliti nasional).  Apa yang baik kepada individu tidak semestinya baik kepada negara.

Sebagai contoh, penetapan gaji minum sebanyak RM1,500 sebulan. Sekarang ditetapkan pada aras RM1000, suatu kenaikan sebanyak RM500. Kepada individu, janji ini kelihatan memberi faedah dan amat rasional.

Dalam konteks negara, sebanyak 65 peratus pekerjaan yang terlibat dengan gaji minimum ini ialah perusahaan kecil dan sederhana (SME). Pakar-pakar ekonomi percaya banyak SME akan berhadapan dengan masalah untuk meneruskan operasi mereka dan mungkin akan terpaksa ditutup dan ramai pekerja akan menganggur.

Kesan seterusnya ialah peratusan sumbangan SME kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan menguncup dan seterusnya melemahkan pertumbuhan ekonomi nasional secara keseluruhannya.

Contoh berikutnya ialah cadangan menghapuskan GST sekiranya PH menang PRU14. Janji ini kelihatan baik untuk individu. Hakikatnya sebelum GST, cukai barangan dan perkhidmatan (SST) dikenakan pada kadar 10 peratus.

Pada tahun 2014, kerajaan mengutip sebanyak RM17.8 billion hasil SST. Tetapi pada tahun 2017, menenrusi GST sebanyak RM40 billion berjaya dikutip.

Dengan kata lain, kerajaan akan kehilangan sebanyak RM23 billion setahun sekiranya GST dimansuhkan kerana di bawah SST pengeluar dan peniaga boleh menyembunyikan data-data mengenai percukaian serta menggalakkan amalan tidak beretika.

Itulah antara sebabnya kenapa sebanyak 174 buah negara di dunia beralih kepada GST. Malaysia akan menjadi satu-satunya negara di dunia di antara 174 buah negara yang mengamalkan sistem cukai GST yang mengambil langkah untuk undur ke belakang sekiranya janji manifesto PH dilaksanakan.

Di antara 10 buah negara di Asia Tenggara, Malaysia sebenarnya agak lewat dalam melaksanakan GST. Indonesia telah melaksanakan GST semenjak tahun 1982 lagi.

Dan jika dimansuh semula GST, Malaysia akan berada dalam ketegori sama dengan negara Myanmar yang merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang tidak melaksanakan GST.

Dua kes ekonomi yang dinyatakan di atas adalah antara pelbagai contoh yang jelas menunjukkan manifesto PRU-14 PH jauh tersasar, terbabas dan tergelincir daripada landasan pembangunan yang dicita-citakan oleh rakyat Malaysia. — Sarawakvoice