Saturday, May 21, 2022

Pengembalian hak Sarawak, penubuhan Petros, hasil perjuangan PBB – Abang Jo

Secara Rawak

KUCHING: Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-14 yang berlangsung dengan jayanya pada bulan lalu, membuktikan tahap kesetiakawanan yang tinggi dalam parti itu.

Presidennya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, perkara ini diiktiraf oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pusat, Datuk Seri Mohd Najib Razak, yang juga terkejut dengan jumlah kehadiran ahli parti itu yang ramai serta kekuatan yang ditunjukkannya.

“Elemen kejutan ini berjaya membuktikan kepada Datuk Seri Najib bahawa parti ini tersusun, berdisiplin dan mempunyai setia kawan yang erat,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Malam Apresiasi Perhimpinan Agung PBB ke-14 di Hotel Hilton malam tadi.

Malah katanya, keutuhan dan keharmonian parti itu menjadi model kepada parti komponen BN yang lain di negara ini, termasuk UMNO.

Lebih 5000 delegasi yang mewakili 82 cawangan PBB hadir dalam perhimpunan tritahunan itu, yang diadakan buat kali pertama selepas Abang Johari dilantik Presiden.

Perhimpunan itu menurut Ketua Menteri, melambangkan kekuatan sebenar PBB, yang kemudian diterjemahkan melalui usaha mendapatkan hak Sarawak yang terhakis.

“Kerana itu apabila kita meminta kepada beliau (Najib) untuk mengembalikan hak kita yang terhakis, Perdana Menteri tidak ragu-ragu bersetuju.

“Beliau bersetuju untuk kembalikan hak Sarawak baik yang terambil secara sengaja dan tidak sengaja.

“Ini kejayaan yang paling penting dan signifikan; dan  ia diperjuangkan melalui parti keramat PBB ini, sejak era kepimpinan Tan Sri Adenan Satem,” jelasnya lagi.

Ujarnya, permohonan mengenai hak Sarawak berkait perlombongan minyak dan gas, seperti yang termaktub salam perlembagaan dilakukan setelah beliau membuat semakan pada malam sebelum Perdana Menteri tiba kd Sarawak.

“Saya menemui peruntukan tersebut dan telah meminta kepada Peguam Besar Negeri, sambil disaksikan Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri-Pusat dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayed Aman Ghazali untuk mengesahkannya.

“Dan setelah disahkan, saya meminta peruntukan ini diletakkan dalam slaid ucapan saya.

Katanya, apabila hak tersebut diperakukan oleh Perdana Menteri dalam ucapan perasmiannya,  beliau (Abang Johari) terus tidak berganjak dengan keputusan itu.

“Dan selepas itulah kita mengumumkan peranan lanjut Petros (Petroleum Sarawak Berhad) dan upaya memiliknegerikan kembali industri minyak dan gas negeri ini,” tegasnya lagi.

Katanya, cara PBB bekerja adalah dengan melakukan penyelidikan dan ‘kerja rumah’ sebelum menangani sesuatu isu.

“Sebab itu, kita hantar pasukan peguam ke London untuk melakukan semakan, biarpun ada pihak yang mengkritik, yang menyifatkannya sebagai membazirkan wang perbendaharaan negeri.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perhimpunan yang juga Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas turut menyifatkan perhimpunan terbesar dalam sejarah itu sebagai berjaya dan mencipta sejarah.

“Ia membuktikan PBB makin kuat, gagah, bersatu dan padu.

“Ia turut membayangkan betapa parti ini stabil, memiliki perpaduan yang berat dan layak memimpin kerajaan negeri Sarawak,” jelasnya lagi. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru