Saturday, May 21, 2022

Bendera Sarawak bakal berkibar di daerah perniagaan di Singapura — Abang Jo

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membuka sebuah pejabat urusan di daerah perniagaan di Singapura, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg malam tadi.

Menurutnya, pembukaan pejabat itu sesuai dengan perkembangan masa kini, dengan perhubungan kedua-dua pihak semakin akrab.

“Ia juga sesuai dengan hasrat untuk memperkenalkan Sarawak di mata dunia memandangkan kedudukan Singapura amat strategik sebagai ‘hub ekonomi serantau’ di kawasan ini.

“Ketika ini, negara itu melihat Sarawak sebagai ‘bintang bersinar’ di seberang Laut China Selatan,” katanya, yang pada minggu lalu mengadakan pertemuan bersejarah dengan Perdana Menteri negara itu, Lee Hsien Loong.

Abang Johari berkata, pejabat yang akan mengibarkan bendera Sarawak itu boleh digunakan oleh komuniti perniagaan di negeri ini untuk berurusan dengan pembeli mahupun pelabur di negara itu.

Gambar fail

“Kita akan menempatkan penjawat awam kita di sana, dan ia turut dilengkapi dengan ruang mesyuarat.

“Saya telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri, (Tan Sri Mohd Morshidi Ghani) untuk merealisasikan penubuhan pejabat tersebut selewat-lewatnya pada Januari depan.

Katanya, ketika ini antara bidang yang telah dirancang untuk kerjasama ini termasuklah sektor pertanian dan pelancongan.

Pada masa yang sama katanya, kerjasama dua hala kini terjalin setelah kedua-dua pihak menandatangani kerjasama dalam sistem pembayaran mudah alih.

“Sarawak Pay dan Singapore Net telah mengadakan kerjasama untuk saling boleh guna, tetapi kita kini dalam proses untuk menggunakan teknologi lebih canggih.

“Singapura turut mencadangkan teknologi baharu, dengan pembayaran menggunakan akaun telefon bimbit, dan kita sedang mendapatkan kelulusan Bank Negara Malaysia,” tambahnya lagi. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru