Saturday, June 25, 2022

PAS: Konflik agama, kaum perlu dicegah

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Konflik perkauman, agama, mazhab dan pertembungan nilai-nilai yang sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak yang tidak senang dengan apa yang berlaku mesti dicegah, kata PAS.

Menurut Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, yang penting adalah bagaimana menguruskan kemajmukan tersebut hingga mampu menjadi aset berguna kepada negara.

“PAS melihat bahawa rakyat perlu hidup dalam keadaan yang harmoni,” katanya dalam siaran langsung melalui FB PAS malam tadi.

Transkrip sesi berkenaan disiarkan dalam portal lidah rasminya Harakah Daily, hari ini.

Gambar fail

“Lantaran itu kita melihat kepada aspek yang pertama, kebebasan beragama. Islam suatu agama yang tidak memaksa orang bukan Islam untuk masuk Islam. Kenapa? Kerana kalau pemaksaan akan melahirkan golongan yang munafik, golongan berpura-pura. Akidah ini ialah soal keyakinan kita,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, pada waktu yang sama, kita harus mengiktiraf bahawa masing-masing agama mempunyai tanggungjawab.

“Islam ada tanggungjawab terhadap penganutnya dengan agama dia sendiri. Iaitu orang Islam, dia mesti bebas beramal apa yang diperintah oleh Allah Taala kepada diri dia. Sama ada soal akidahnya, soal imannya, soal ekonominya, soal politiknya dan termasuk juga soal hak-hak dia beramal dengan agama dia,” katanya.

“Demikian juga jaminan kita bahawa semua agama bebas beramal dengan agama mereka sendiri. Pengalaman PAS memerintah Kelantan 27 tahun, menyaksikan bagaimana tidak ada konflik agama berlaku di Kelantan. Dan kita bagi kebebasan masyarakat yang bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka,” katanya lagi.

Tetapi ujarnya, apa yang menjadi konflik hari ini ialah umat Islam ada hak-hak orang Islam yang tidak, tidak boleh laksana. Dan itu yang kita lihat sebagai satu tuntutan orang Islam untuk dia bebas beramal agama dia.

“Soal yang kedua soal bangsa, soal bahasa, sebagai contoh. PAS kita iktiraf soal setiap bangsa ada budaya dia, ada bahasa dia yang kita harus rai. Sebab itu kita menentang sebarang usaha untuk membawa negara kita kepada satu, seolah satu tidak ada pengiktirafan,” kata Tuan Ibrahim lagi.

“Soal bahasa ini orang Cina dengan bahasa dia sendiri, orang India dengan bahasa dia. Mereka bebas untuk bercakap, berbudaya dengan bahasa mereka sendiri,” katanya.

“Dan dalam soal ini, alangkah baiknya kalau kita boleh gembleng semua keunikan budaya yang ada di Malaysia, kita harmonikan sebagai satu aset besar bagaimana untuk kita elak sebarang konflik yang berlaku di kalangan masyarakat,” tambahnya. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru