KUALA LUMPUR: Ahli jawatankuasa PAS Pusat Dr Azman Ibrahim berkata, dalam tempoh 2013 – 2017 tidak ada seorang pun pemimpin PAS disiasat Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low dalam jawapan beliau di Dewan Rakyat pada Isnin memaklumkan bahawa dalam tempoh tahun 2013-2017 seramai 92 pemimpin politik telah disiasat oleh SPRM kerana pelbagai dakwaan salah laku.

Kata Azman, sebanyak 71 orang yang disiasat terdiri daripada para pemimpin Barisan Nasional (BN) manakala baki 21 orang ialah pemimpin Pakatan Harapan gabungan DAP, PKR, PAN dan PPBM.

“Ringkasnya BN 71, PH 21 dan PAS 0. Kenyataan rasmi dari Menteri bertanggungjawab ini membuktikan nilai integriti dan kejujuran tinggi yang dimiliki pimpinan PAS,” kata Azman dalam satu kenyataan,hari ini.

“Paul Low juga menafikan dakwaan Ahli Parlimen DAP Bagan, Lim Guan Eng bahawa SPRM telah bertindak secara terpilih dan berat sebelah dalam mengambil tindakan kerana ramai pemimpin BN juga disiasat,”katanya lagi.

Foto : Facebook Profesional Istiqamah

“Di sebalik pelbagai dakwaan kononnya pemimpin PAS makan dedak itu dan ini, penyelewengan di sana dan di sini tapi faktanya bukan setakat tak ada pemimpin PAS yang disabitkan bersalah dengan tuduhan rasuah, malah yang disiasat pun tak ada,” katanya lagi.

Ujarnya, PAS mentadbir Kelantan sudah masuk tahun ke 28, jauh lebih lama dari PKR dan DAP mentadbir Selangor dan Pulau Pinang.

“Dalam tempoh 28 tahun masakan tak ada walau seorang pun anggota pentadbiran negeri sama ada MB, Exco, wakil rakyat atau pegawai kanan kerajaan yang disiasat oleh SPRM!,” katanya.

“Antara parti politik yang ada di Malaysia, parti manakah yang paling layak untuk bercakap soal integriti dan ketelusan? Khalayak mampu menghakimi dengan mudah,” ujarnya. –Sarawakvoice