Tuesday, September 27, 2022

Pakatan Harapan akui kejayaan Sabah, Sarawak dan mahu jadikannya model keharmonian

Secara Rawak

KUCHING: Pakatan Harapan mengakui kejayaan Sabah dan Sarawak mewujudkan masyarakat yang harmoni, justeru melalui manifestonya berjanji untuk mengangkat martabat  negeri terbabit sebagai model keharmonian masyarakat majmuk.

Menurut Buku Harapan yang mengandungi 60 janji, manifesto berkenaan berkata: “Kerajaan Pakatan Harapan menjamin keutuhan hubungan antara kaum dan agama di Sabah dan Sarawak serta di seluruh negara.”

“Lebih dari itu, kerajaan Pakatan Harapan akan mengangkat martabat Sabah dan Sarawak sebagai model keharmonian masyarakat majmuk agar seluruh rakyat Malaysia dapat mencontohi sikap wasatiyah yang diamalkan secara semula jadi,” kata manifesto itu.

Manifesto  Pakatan Harapan dilancarkan pada Khamis lalu yang antara lain mengandungi janji untuk mehghapuskan tol dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Kata manifesto itu, Sabah dan Sarawak boleh berbangga dengan keharmonian yang wujud sesama mereka.

“Hakikatnya, Sabah dan Sarawak boleh menjadi model bagaimana masyarakat pelbagai kaum dan agama boleh hidup harmoni dalam kerangka Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Tambahnya lagi, universiti awam serta sekolah menengah akan diberi insentif untuk melakukan aktiviti pertukaran pelajar serta lawatan sambil belajar antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk menggalakkan lebih banyak interaksi dan saling perkenalan.

“Kegiatan sukan  juga akan digunakan untuk menjadi tali penyambung silaturrahim antara sesama warga Malaysia,” katanya. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru