BELURAN: Manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukan berniat untuk dilaksana tetapi lebih kepada meraih sokongan rakyat, kata Anggota Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata manifesto pakatan pembangkang itu hanya untuk sedap didengar sahaja.

“Sebab itu mereka mampu merangka manifesto atas kertas sahaja tanpa mengambil kira pendapatan dikutip sebagai sebuah kerajaan untuk mentadbir sesebuah negara.

“Mereka (pembangkang) menjanjikan pembangunan, subsidi dan tanpa bayaran kepada rakyat dalam kerajaan bayang-bayang mereka tetapi tidak menumpukan kepada aspek menjana pendapatan kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Kenduri Rakyat di Kampung Pulau Keniogan dekat sini, semalam.

Ronald, yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, berkata manifesto PH bersifat populis itu dengan matlamat untuk memancing undi rakyat menjelang PRU14 terutama rakyat luar bandar yang masih menagih pembangunan daripada kerajaan.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat khususnya di luar bandar untuk tidak terpengaruh dengan manifesto PH itu yang diselaputi gula dan madu.

Katanya, rakyat perlu terus memberikan sokongan dan keyakinan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang bertanggungjawab, rasional dan praktikal ketika memberi janji kepada rakyat menerusi manifesto dan bajet yang dibentang di Parlimen.

Mengenai majlis kenduri rakyat itu, Ronald berkata ia dapat memberi peluang kepada pemimpin untuk bersama rakyat dan pada masa sama mendengar keluhan dan rintihan mengenai perkara-perkara yang harus dilaksanakan oleh kerajaan.

Katanya, program itu merupakan antara pendekatan yang diambil oleh beliau untuk mendekati rakyat.

Menurutnya, mana-mana keluhan dan keperluan yang dikemukakan oleh rakyat akan diusahakan untuk diambil tindakan oleh kerajaaan termasuk menerusi jabatan dan agensi yang berkaitan.– BERNAMA