ARAU: Pakatan Harapan (PH) perlu mengemukakan fakta mengenai sumber kewangan untuk merealisasikan setiap janji dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang dilancarkan pakatan pembangkang itu, Khamis lepas.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, PH mudah menabur janji manis untuk meraih undi rakyat tanpa mengemukakan fakta jelas bagi menyokong tindakan mereka.

“Setakat sembang sesiapa sahaja pun boleh, janji macam-macam, nak cari duit dari mana?…Sebut apa pun kena ada fakta, kalau tidak bohonglah,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan 400 jentera Jalinan Rakyat (JR) Parlimen Arau di sini, Jumaat.

Katanya, pakatan pembangkang juga dilihat masih gagal melaksanakan pelbagai janji di negeri ditadbir mereka, malah tidak mampu menyelesaikan pelbagai masalah rakyat misalnya ketiadaan air dan banjir.

Antara intipati manifesto PH sempena PRU14 ialah menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi individu berpendapatan bawah RM4,000.

Sementara itu, Shahidan berkata, jentera JR bahagiannya berjaya menemui 100% pengundi di Parlimen itu dan yakin kemenangan akan terus menjadi milik BN pada PRU14.–BERNAMA

Gambar fail