Tuesday, January 25, 2022

Perkasakan fungsi Rela sebagai barisan kedua negara — Abang Jo

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mahu fungsi Rela atau Jabatan Sukarelawan Malaysia di Sarawak terus diperkasa sebagai ‘barisan kedua’ negara.

Menurutnya, beliau yakin bahawa kelompok sukarelawan ini akan mampu secara berterusan memberikan komitmen memartabatkan kedaulatan negara, bagi membantu agensi keselamatan dan pertahanan lain.

“Justeru itu, Kerajaan Negeri beriltizam untuk terus memberikan sokongan dan bantuan kepada jabatan ini,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun Rela ke-46 peringkat kebangsaan di Stadium Perpaduan, Petra Jaya semalam.

Abang Johari berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan bantuan sebanyak RM25,975 kepada Rela pada tahun ini, manakala pada tahun-tahun lepas jutaan ringgit diberikan untuk penyediaan seragam pasukan.

“Justeru dengan hubungan simbiotik di antara kedua-dua pihak, saya berharap anggota Rela akan terus komited berkhidmat memelihara keamanan dan ketenteraman negeri ini seterusnya mempertahankan Bumi Kenyalang yang indah daripada sebarang ancaman bahaya dan jenayah.

Sambutan pada kali ini menyaksikan buat julung kalinya perhimpunan diadakan serentak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, yang melibatkan sebanyak 45 ribu anggota.

Pada majlis yang sama, Ketua Menteri turut mengulangi persetujuan Kerajaan Negeri menyediakan tapak untuk penubuhan Pusat Latihan Rela di Lundu dan Bekenu.

Beliau turut mengumumkan kadar elaun untuk anggota Rela kini naik sebanyak RM8 sejam, manakala pegawai Rela sebanyak RM10 sejam.

Lebih 5,000 anggota dan pegawai Rela hadir pada majlis tersebut. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru