Friday, December 3, 2021

Pembangkang kitar semula isu royalti minyak untuk Sarawak- Unggah

Secara Rawak

MIRI:  Barisan Nasional (BN) yakin isu royalti minyak yang akan diketengahkan oleh Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14) tidak akan mempengaruhi sentimen pengundi Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyifatkan isu mengembalikan 20 peratus royalti minyak kepada Sarawak sebagai isu lama yang dikitar semula oleh pembangkang.

“Itu cerita lama, dengan kuasa penuh diberikan kepada kerajaan negeri bagi industri minyak dan gas di negeri ini, kita akan dapat pulangan lebih banyak daripada 20 peratus,”katanya kepada pemberita selepas merasmikan program “Rabies Mass Vaccination” peringkat Bahagian Miri di sini hari ini.

Uggah yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yakin pengundi akan dapat membuat penilaian sendiri berkaitan pelbagai usaha yang telah dilakukan kerajaan sekarang terutama sekali berkaitan dengan mengembalikan hak untuk Sarawak seperti diperuntukkan dalam perlembagaan.

Pada Selasa lepas, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan Sarawak akan mengambil alih kuasa seliaan penuh ke atas aspek huluan dan hiliran industri minyak dan gas di negeri ini menjelang Julai tahun ini sebagai sebahagian daripada penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan.

Abang Johari membuat pengumuman itu ketika melancarkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dengan memberi jaminan Sarawak akan mengeksploitasi sumber minyak dan gas aslinya sebagaimana diperuntukkan dalam perlembagaan di bawah Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Abang Johari lagi penurunan kuasa itu adalah selaras dengan persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengembalikan kepada Sarawak kuasa yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah terhakis secara tidak sengaja sejak beberapa tahun lalu, kata Abang Johari.

Ketua Menteri berkata pembentukan Petros dan pelaksanaan hak perlembagaan di bawah perkara 2(c) Senarai Negeri dan 8(j) Senarai Persekutuan sebagaimana diperuntukkan dalam Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan adalah hasil rundingan berhubung penurunan kuasa antara kerajaan negeri dan persekutuan

Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen baru-baru ini menjanjikan tujuh tawaran utama Manifesto Sarawak untuk rakyat negeri ini pada PRU14 dengan mengembalikan royalti minyak 20 peratus kepada Sarawak sebagai salah satu tawaran kepada Sarawak dan Sabah.

Selain royalti minyak, Chong berkata, Pakatan Harapan akan memberikan 50 peratus pendapatan cukai yang diperolehi kepada Sarawak, menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), mengekalkan Bantuan Rakyat 1Malaysian (BR1M), menstabilkan harga minyak dan mengembalikan subsidi petrol bersasar. – BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru