Tuesday, June 28, 2022

GST lebih baik daripada SST yang hendak diperkenalkan Pakatan Harapan

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Kelestarian sumber pendapatan kerajaan sangat penting berikutan sumber pendapatan utama tradisional daripada sektor minyak dan gas telah berkurangan, kata MPNPOLL.

Justeru kata Ketuanya Profesor Ulung Datuk Shamsul Amri Bahruddin berkata janji Pakatan Harapan untuk menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan  Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kurang menjamin kelestarian dalam penjanaan pendapatan kerajaan kerana terdapat insentif daripada kalangan industri untuk mengelak daripada membuat pembayaran cukai.

“Sistem ekonomi Malaysia semakin berkembang ke arah aktiviti nilai tambah. Ini diperlihatkan oleh meningkatnya penggunaan input antara dalam pelbagai industri,” katanya dalam sidang media hari ini.

“Ini akan menjadikan pembayaran cukai  di bawah SST lebih mahal dan merugikan kepada industri kerana pembayaran cukai yang bertindih akan meningkat,” katanya lagi.

Katanya, jika tujuan SST adalah untuk mengurangkan kadar inflasi dan kos sara hidup maka ia tersalah sasar

“Bahkan selain kadar pematuhan dan seterusnya kadar kutipan yang rendah, harga pengguna atau kadar inflasi akan cenderung meningkat dengan lebih tinggi di bawah SST. Ini kerana terdapat kecenderungan daripada pihak industri atau pengeluar untuk memindahkan beban cukai kepada pengguna di bawah SST,”  katanya.

“Bagi sebuah negara yang maju seperti Malaysia sistem percukaian GST adalah lebih cekap berbanding SST,” ujarnya.

Tambahnya, ia meningkatkan kadar pematuhan pembayaran daripada semua lapisan masyarakat berbanding SST.

“Kadar pematuhan yang rendah dari SST mengakibatkan negara kerugian hasil cukai sekitar RM20 bilion pada tahun 2014,” jelasnya. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru