KUALA LUMPUR:  “Manifesto khayalan. Manifesto tidak masuk akal,” kata Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Senator Datuk Abdullah Mat Yasim.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang mengandungi sekurang-kurangnya 60 janji kepada rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Menurutnya, semua janji yang ditabur pembangkang itu termasuk 10 janji yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pertama pemerintahannya, bercanggah dengan kehendak rakyat.

“Pembangkang nak hapuskan GST. Ini bertentangan dengan adat dunia, kerana banyak negara maju lain di dunia ini melaksanakan GST.

“Kalau mereka nak hapuskan, dari mana mereka nak dapatkan sumber kewangan untuk memajukan negara dan menjaga kebajikan rakyat? Ini mengarut… khayalan,” tegasnya.

Mengenai janji PH untuk menetapkan tempoh dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri, Abdullah berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak ikut amalan negara lain kerana mahu mentadbir dengan acuan sendiri.

Katanya, kalau semua perkara PH mahu ikut cara pemerintahan negara lain, beliau percaya Malaysia di bawah pembangkang akan menjadi telunjuk kepada negara yang dijadikan ikutan atau contoh itu.

“Sistem yang diamalkan oleh kerajaan BN sudah cukup baik. Kita pilih perdana menteri secara demokrasi melalui pilihan raya. Rakyat akan memilih siapa pemimpin mereka dan pemimpin pula akan memilih siapa Perdana Menteri.

“Saya tengok Manifesto PH lebih kepada meniru apa yang kerajaan BN telah buat. Mereka hanya tokok tambah untuk memperdayakan rakyat. Hakikatnya, PH tidak mampu mentadbir kerajaan di peringkat persekutuan,” katanya.

Menurut Abdullah, kerajaan BN memperkenalkan GST adalah untuk rakyat dengan berkongsi melalui pelbagai bentuk bantuan serta sumbangan yang disampaikan.

Cuma kata beliau, pembangkang sengaja mengelirukan rakyat dan menutup kebaikan kerajaan BN dengan tujuan untuk menimbulkan prasangkan buruk ada pandangan masyarakat.

Beliau turut membidas pembangkang masih tidak berpuas hati dengan sistem pilihan raya dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila mahu mewujudkan kononnya sistem yang lebih telus dan adil.

“Saya nak tanya pembangkang, Kelantan menang kepada Pas, Selangor menang kepada PKR, DAP dan Pas serta Pulau Pinang dibolot hanya oleh parti DAP sahaja itu disebabkan sistem pilihan raya tidak adilkah?

“Kalau tidak adil dan telus, mustahil ketiga-tiga negeri itu berjaya diperintah oleh mereka. Kelantan selama hampir 28 tahun diperintah oleh Pas, BN tak pernah menang. Selangor dan Pulau Pinang pula hampir 10 tahun diperintah oleh Pakatan Harapan.

“Bagaimana PH mahu mewujudkan sistem pilihan raya yang adil di seluruh negara kalau pemilihan di peringkat parti (DAP, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia) pun kelam kabut,” ujar beliau.

Justeru, beliau berharap rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan janji manis dalam Manifesto PH kerana yakin dan percaya pembangkang tidak dapat mentadbir dengan baik. – theRakyat