Saturday, December 3, 2022

PM turun padang tinjau pelaksanaan projek kerajaan

Secara Rawak

HULU SELANGOR: Datuk Seri Najib Tun Razak turun padang melihat kemajuan dan pelaksanaan projek yang dijanjikan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan projek pembangunan prasekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batang Kali di sini berjalan lancar.

Tinjauan ke projek pembangunan prasekolah bernilai RM200,000, yang dijadual siap pada Jun ini adalah sebahagian daripada program lawatan rasmi Perdana Menteri ke Parlimen Hulu Selangor semalam.

Projek inisiatif kerajaan Persekutuan itu adalah sebahagian daripada pembinaan 50 kelas prasekolah SJKT di seluruh negara yang dicadangkan dalam Bajet 2017 dengan peruntukan RM10 juta, bertujuan menambah jumlah murid.

Kehadiran Perdana Menteri ke sekolah yang terletak kira-kira 1.6 kilometer dari pekan Batang Kali, disambut meriah warga kerja dan murid SJKT Ladang Batang Kali dan ratusan masyarakat setempat, yang ingin mengambil kesempatan bertemu pemimpin utama negara.

Semasa lawatannya. Najib turut menyerahkan dokumen pengenalan diri antaranya surat beranak dan kad pengenalan kepada 16 rakyat Selangor yang sebelum ini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan dokumen berkaitan kerana lewat mendaftar.

Gambar fail

Ia merupakan inisiatif Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) untuk menyelesaikan masalah mendapatkan dokumen pengenalan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.

Perdana Menteri turut melancarkan kelas Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21), iaitu satu inisiatif kerjasama antara YTL Foundation dan Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan kemahiran pembelajaran dan pengajaran abad ke-21.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan yang juga anggota Parlimen Hulu Selangor, berkata beliau sempat memberi taklimat tentang status terkini pembangunan sekolah-sekolah Tamil di negara ini khususnya di Hulu Selangor dan perdana menteri berasa gembira dengan pencapaiannya.

Selain itu, Kamalanathan berkata perdana menteri turut memberi memberi amanat kepada jentera BN di Selangor supaya merapatkan saf perjuangan kerana pilihan raya umum ke-14 (PRU14) semakin dekat.

“Katanya (Perdana Menteri), jentera BN harus bekerjasama dan tidak harus ada unsur sabotaj. Yang penting kena menangkan BN di Selangor. Kehadiran jumlah jentera BN, saya nampak ia amat meyakinkan, membara dan bersedia untuk hadapi pertempuran politik PRU14,” katanya.

Sementara itu, murid dan warga kerja SJKT Ladang Batang Kali teruja dengan kehadiran Perdana Menteri kerana dapat bersua muka dengan pemimpin nombor satu negara.

Murid Tahun 4, Rinthiya Loganathan, berkata : “saya lebih daripada gembira dapat berjabat tangan dengan perdana menteri. Perasaan itu begitu hebat. Beliau juga bertanyakan nama dan umur saya.”

Katanya beliau mahu belajar bersungguh-sungguh dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Bagi Sherlin Evangeline, murid Tahun 5 pula, ini adalah kali pertama beliau melihat wajah Perdana Menteri secara dekat, yang selama ini hanya dilihatnya menerusi televisyen.

“Saya terkejut dan begitu gembira dapat bertemu perdana menteri,” katanya.

Pekerja koperasi SJKT Ladang Batang Kali, Vigneswary Apau, 35 berkata beliau sempat merakam gambar Najib untuk dijadikan kenangan.

“Perdana Menteri hanya menghulurkan tangan dan saya sempat berjabat tangan dengannya. Saya rasa amat beruntung kerana bukan senang untuk bertemu dan berdiri dekat dengan pemimpin negara,” katanya.– BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru