Monday, December 5, 2022

Kes kepala wanita dipenggal: Polis rampas peti sejuk beku dari rumah mangsa di Sri Aman 

Secara Rawak

SRI AMAN: Pasukan penyiasat kes pembunuhan seorang wanita China yang dipenggal kepalanya memasuki episod baharu semalam apabila polis bertindak merampas beberapa peralatan dari kediaman pasangan tersebut.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar mengesahkan penyitaan tersebut yang termasuk seunit peti sejuk beku.

“Sebelum ini terdapat dakwaan yang menyebut tentang peti sejuk beku untuk menyimpan badan mangsa dan setakat ini, saya ‘mengesahkan’ bahawa ia sekadar spekulasi,” katanya ketika dihubungi media.

Kata Dev, mereka kini aktif melaksanakan siasatan, yang meliputi semua sudut.

Pada Selasa, Dev memaklumkan bahawa pihaknya telah mengenal pasti identiti kepala manusia yang ditemui di tebing Batang Lupar, Jalan Skait Lama di sini pada Sabtu lalu sebagai milik seorang warganegara China berusia 31 tahun.

Gambar fail

Wanita terbabit telah berkahwin dengan seorang usahawan rakyat tempatan pada tahun 2011 dan menetap di Sri Aman bersama-sama dua anak mereka.

Susulan pengecaman mangsa oleh bapanya pada jam 1.45 petang, Ahad lalu, polis menahan suami mangsa yang berusia 42 tahun, selepas soal siasat pada awalnya menemui jawapan yang meragukan.

Kes yang sebelumnya dikategorikan sebagai ‘mati mengejut’ telah diklasifikasi semula sebagai ‘bunuh’ di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.

Pada 3 Mac lalu, sekitar jam 4.30 petang, polis Sri Aman telah dimaklumkan oleh orang awam tentang penemuan satu objek dipercayai kepala manusia yang terdampar di tebing sungai.

Pemeriksaan oleh pasukan polis di tempat kejadian mengesahkan bahawa objek tersebut adalah kepala seorang wanita, manakala pemeriksaan awal di Hospital Sri Aman mendapati wanita ini mati dalam tempoh 24 jam dan berumur dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru