Saturday, December 3, 2022

Dana RM22 juta untuk bantuan mangsa bencana alam di Sarawak

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM22,056,000 dana bantuan khas Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) telah diagihkan dalam bentuk wang ihsan kepada mangsa-mangsa bencana alam di Sarawak sejak 2015, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata daripada jumlah itu sebanyak RM14,618,500 diagihkan pada 2015, RM5,447,000 pada 2016 dan RM1,990,500 pada 2017.

Beliau berkata bantuan wang ihsan diberikan kepada mereka yang berpindah ke pusat pemindahan dan didaftarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Kerajaan akan menguruskan pengagihan bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir apabila menerima senarai nama mangsa yang telah diverifikasi dan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan daerah-daerah yang berkenaan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (DAP-Sibu) yang ingin tahu apakah dilakukan kerajaan persekutuan dan keseluruhan perbelanjaan akibat banjir yang berlaku di Sarawak.

Dalam pada itu, Shahidan berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menghantar bantuan kelengkapan asas pada Disember lepas sebagai persediaan menghadapi banjir di Sarawak.

“Sebanyak 2,000 selimut, 2,000 bantal, 2,000 unit toto dan 2,000 unit khemah pengadang telah diserahkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selaku sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri untuk agihan bila diperlukan,” katanya.

Katanya selain bantuan dalam bentuk keperluan asas di pusat pemindahan, NADMA juga telah menghantar bantuan dalam bentuk aset logistik seperti empat kenderaan pacuan empat roda, bot aluminium (10) dan ‘rubber inflatable boat’ (10).

“Sarawak sebelum ini telah pun menerima sebanyak tiga bot Sealegs dan sembilan lori lima tan,” tambahnya.

Malah, Shahidan berkata sekumpulan pegawai NADMA sendiri telah tiba di Sarawak lebih awal setelah menerima laporan daripada Pusat Kawalan Bencana Negara NADMA yang mengeluarkan amaran hujan lebat di negeri itu bermula 5 hingga 7 Feb lepas.– BERNAMA

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru