Saturday, June 25, 2022

Akta Pembangunan Petroleum dan Akta Laut Wilayah ‘tidak relevan’ di Sarawak — Abang Jo

Secara Rawak

KUCHING: Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Akta Laut Wilayah 2012 ‘tidak relevan’ di Sarawak, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini.

Menurutnya, dalam melaksanakan Ordinan Perlombongan Minyak 1954 dan Ordinan Pengedaran Gas 2016, beliau sebenarnya ‘melaksanakan dan menjayakan” hak Sarawak.

Undang-undang Persekutuan itu katanya, tidak pernah diluluskan di peringkat badan perundangan negeri, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apa jua undang-undang yang ‘ultra vires’ Perlembagaan Persekutuan, di bawah Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal dan tidak sah,” tegasya ketika sidang media selepas merasmikan Seminar Pembangunan Jalan Pesisir di Hotel Imperial di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut kemudian, Ketua Setiausaha Politiknya, Abdullah Saidol berkata, atas prinsip tersebut, Kerajaan Negeri berhak untuk menafikan kedua-dua undang-undang tersebut memandangkan sewaktu penggubalannya, negeri ini tidak pernah dirundingi.

“Malah kita memiliki undang-undang sendiri yang memberi kuasa penuh kepada kita seperti juga Ordinan Imigresen.

“Justeru itu, mana-mana pihak dan syarikat yang ingin terlibat dalam industri minyak dan gas di negeri ini perlu mematuhi undang-undang kita yang sedia ada,” katanya lagi.

Ordinan Perlombongan Minyak 1954 menyebut semua pihak dan syarikat yang terlibat dalam industri minyak dan gas di Sarawak, mesti mendapatkan lesen, permit, pajakan dan kelulusan yang diperlukan daripada Kerajaan Negeri.

Kata Abdullah lagi, Ketua Menteri telah melakukan kajian terperinci dan dari semua segi sebelum mengumumkan keputusan sepenting ini.

“Beliau sendiri tidak akan umumkannya jika tidak yakin.

“Yang penting, ia merupakan usaha keras dan berani Abang Johari untuk menambahkan pendapatan negeri dan merealisasikan impian ekonomi digitalnya,” tambahnya lagi. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru