KUCHING: Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Professor Datuk Dr Sim Kui Hian enggan mendedahkan siapa calon parti itu yang akan dikemukakan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau menegaskan SUPP ketika ini sudah melakukan pembaharuan dan menurut beliau sesiapa sahaja dalam parti terbabit boleh dipilih menjadi calon PRU14.
Beliau menambah calon SUPP mestilah individu yang rajin turun padang tanpa mengira ada pilihan raya atau tidak.

Bagaimanapun, menurut beliau senarai nama calon SUPP sudah dihantar kepada Perdana Menteri dan Presiden BN (Barisan Nasional) Datuk Seri Najib Tun Razak serta Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Kalau ada yang berminat menjadi calon SUPP, sudah terlambat dan kami tidak dapat menerima surat permohonan mereka,” ujar Sim pada pelancaran tempat mengambil dan menurunkan penumpang GRAB di ICOM Square pada Selasa.

Pada pelancaran tersebut Sim turut membuat spekulasi bahawa PRU14 berlangsung April atau Mei depan sebagai menjawab pertanyaan orang ramai berkaitan tarikh plilihan raya diadakan.

Menurut Sim, pilihan raya hanya akan diadakan selepas persempadanan semula dibentangan di Parlimen 29 Mac ini.

Sim mengandaikan persempadanan semula kawasan pilihan raya itu tidak membabitkan Sarawak kerana persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri ini sudah dilakukan pada 2016. –Sarawakvoice

 

Foto : Dr Sim Kui Hian