HULU SELANGOR: Pembinaan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Rasa dengan kos bernilai RM5.4 juta bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) mengiktiraf pendidikan Cina di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, tujuan beliau melawat sekolah ini hari ini adalah untuk melihat janji kerajaan BN ditunaikan.

Selepas BN menang di Hulu Selangor pada 25 April 2010 Najib telah mengumumkan  peruntukan RM3 juta untuk pembinaan bangunan baharu sekolah itu.

“Kini seperti yang saya nak, sebagai sebuah kerajaan BN menepati janjinya. Saya dimaklumkan sekolah juga menambah dana sebanyak 2.6 juta dan keseluruhan kos menyiapkan bangunan baharu adalah RM5.4 juta dan saya nampak masih perlu beberapa sentuhan akhir,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian dalam ucapan selepas merasmikan bangunan baharu sekolah itu di sini.

“Sekolah ini kini kelihatan terbaik di kawasan ini dan ini sekaligus menunjukkan kerajaan  menghormati kewujdan sekolah Cina dalam sistem pendidikan,” ujarnya.

Beliau juga meluluskan peruntukan RM400,000 untuk pemasangan lampu isyarat dan pelebaran persimpangan Jalan Rasa di Batu 23, setelah menerima memorandum daripada MCA Bahagian Hulu Selangor.

Najib turut membidas kegagalan wakil rakyat DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang menabur janji kosong untuk membaiki jalan dan mengatasi masalah keselamatan jalan raya.

“DAP janji nak buat jalan ini, tetapi sudah empat tahun tak buat apa apa,” katanya.

“Saya harap masyarakat di sini meletakkan kepercayaan kepada kerajaan yang sentiasa menepati janji,” katanya lagi. — Sarawakvoice