Saturday, June 25, 2022

PRU14 : Pas kata haram tak undi bulan, Husam kata haram undi Pas

Secara Rawak

NAIB Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Husam Musa mengeluarkan pendapat; haram hukumnya mengundi Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

“Mengundi ini melibatkan hukum, Pas kata haram kalau tak undi bulan. Kita kata tidak, sebaliknya haram undi bulan,” kata Husam semasa berceramah di Kuala Krai hujung minggu lepas.

Husam mengulas isu rakaman audio yang didakwa mengandungi ucapan anggota Pas berkaitan penerimaan wang daripada Umno.

Husam memulangkan paku buah keras terhadap kenyataan mengatakan “Pas kata tak pangkah Pas haram sebab akan jatuh kerajaan Islam”

“Jadi nak undi apa?” tanya Husam dan menjawab “Undilah Harapan, dapat pahala undi Harapan,” ujar beliau.

Dalam kenyataan lainnya memetik Malaysiakini, Husam mendakwa bahawa Pas masuk kampung keluar kampung memberitahu rakyat, kalau mengundi selain daripada Pas membawa kepada murtad, kafir dan berdosa.

“Saya nak pecahkan minda itu, supaya orang Pas berfikir semula,” kata Husam.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam tulisan di Facebook tanpa merujuk nama secara khusus menyindir isu “berdosa pangkah Pas” ini.

“Bila dia keluar Pas, dia kata berdosa pangkah Pas. Dia ingat pahala ini ikuti dia ke mana saja dia pergi. Kesianlah juga kepada orang lain,” tulis Abduh.

Sebelum ini, pada hujung Januari lepas, pemimpin Pas Padang Serai berkata “undi Harapan adalah haram” kerana Harapan bergabung dengan DAP.

Beliau berkata, jika haram mengundi Harapan, ini bermakna haram juga mengundi Amanah, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana bersekutu dengan DAP.

Ketua Komunikasi Amanah Kedah Ridzwan Abu Bakar mencabar Yang Dipertua Pas Padang Serai Ustaz Shahrudin Ibrahim atas ceramah itu.

Menurut Ridzwan, jika kerana DAP maka Harapan menjadi haram, Pas juga pernah bersama DAP dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Adakah anda melacurkan ilmu anda mengikut keadaaan semasa dan asas apakah pula yang membolehkan merayu undi bukan Islam. Apakah undi mereka (bukan Islam) juga halal bagi Pas?” tanya Ridzwan.

Sementara Naib Pengerusi Amanah Kelantan Che Ibrahim Mohamed berkata mengundi Pas pada zaman Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik katanya mungkin wajib.

“Tetapi mengundi Pas dalam PRU14 ini boleh menjadi haram kerana Pas sekarang sudah tidak serupa lagi dengan Pas di zaman itu,” kata Che Ibrahim seperti dilaporkan Malaysia Dateline.

Beliau berkata memilih pemimpin yang lemah dan terbukti gagal adalah haram apabila ada pemimpin yang lebih baik daripadanya dari segi kepimpinan, sahsiah dan ilmu.

Tambah beliau lagi, melantik seorang pemimpin yang berkaliber, diyakini berkemampuan adalah wajib berbanding mengekalkan pemimpin sedia ada yang ternyata lemah dan gagal. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru