Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiada pilihan melainkan meletakkan nama-nama ‘import’ di tiga kawasan parlimen di Johor iaitu di Batu Pahat, Pasir Gudang dan Tebrau. Apa yang saya boleh katakan mereka sedaya upaya ingin mencuba nasib di Johor walau dengan apa cara sekali pun.

Melihat keadaan ini jelas menunjukkan PKR sebenarnya terdesak untuk menang dalam PRU14 akan datang. Ekoran ini mereka terpaksa meletakkan nama-nama ‘import’ untuk bertanding di Johor.

Persoalan yang berlegar difikiran saya dimanakah calon PKR dari Johor?

Jika mereka benar-benar meletakkan nama-nama ‘import’ ini, jelas menunjukkan PKR Johor mereka tidak mempunyai pemimpin yang berkaliber dan tidak boleh buat kerja.

Malah jika benar mereka meletakkan nama-nama ‘import’ sebagai calon, tidak mustahil pada masa akan datang rakyat akan menjadi mangsanya. Hal ini kerana pihak pembangkang sendiri gagal dan celaru dalam menentukan calon wakil rakyat mana yang betul-betul memahami kehendak rakyat di kawasan tersebut.

Yang menghairankan saya sebelum ini PKR beria-ia melaungkan slogan untuk mengangkat calon muda bertanding PRU14. Kenyataan ini pernah dinyatakan oleh Zuraida Kamaruddin di Laman Web Antarapos yang ingin mengangkat beberapa calon muda untuk ke depan dan bertanding dalam PRU14.

Tetapi apa yang terjadi sebaliknya pula iaitu mereka mengetepikan calon muda dan mengangkat calon import. Jelaslah ia hanya sekadar retorik untuk menyedapkan hati pengundi-pengundi muda seperti saya.

Adakah mereka hanya meletakkan calon-calon muda ini di kawasan hitam yang kita sedia maklum sukar untuk dimenangi oleh mereka? Jadi mereka mempergunakan calon-calon muda ini sekadar untuk memenuhi korum semata-mata.

Atau sebenarnya mereka takut untuk meletakkan calon muda dan calon baru disebabkan risau pengundi tidak mengenali calon-calon mereka. Apa yang dapat saya simpulkan PKR sebenarnya ketandusan calon justeru itu mereka mempertaruhkan nama-nama ‘import’ untuk bertanding.

Bagi saya biarlah sesuatu kawasan itu dimenangi oleh calon wakil rakyat tempatan. Ini kerana hanya mereka sahaja yang mampu mempertahankan nasib rakyat di kawasan tersebut. Jika orang luar yang mentadbir mampukah mereka menjiwai setiap rentak rakyat di kawasan tersebut?

Jadi harapan saya sebagai anak muda, rakyat dapat menilai calon mana yang benar-benar layak untuk menyelesaikan masalah rakyat dan sentiasa teguh bersama rakyat walau dalam apa keadaan sekali pun.

Dhia Hani, Persatuan Pemikir Muda Johor