Tuesday, October 4, 2022

Misi pencarian MH370 diharap lancar – Hishammuddin

Secara Rawak

KLUANG: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berharap misi pencarian pesawat MH370, yang disambung semula pada Januari lepas, berjalan lancar agar dapat merungkai punca kejadian itu.

Beliau berkata misi pencarian itu penting terutamanya untuk waris semua mangsa pesawat malang itu, yang hilang pada 8 Mac 2014.

“Saya doakan ia (misi) dapat diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Orang Felda Sembrong Kita di Padang Felda Ulu Belitong di sini, semalam.

Hishammuddin, yang memangku tugas Menteri Pengangkutan susulan kejadian itu, berkata apa yang penting adalah perasaan waris kesemua mangsa berkenaan.

“Yang paling penting kedudukan keluarga mereka yang terlibat, itu yang paling utama bagi saya semasa saya memangku…nak pastikan mereka faham (insiden) ini bukanlah perkara mudah,” katanya.

Semasa ditanya pengalamannya semasa mengendalikan usaha pencarian pesawat itu pada 2014, Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata beliau perlu berterima kasih kepada kerajaan beberapa negara asing yang sedia bekerjasama dengan Malaysia dalam misi pencarian pesawat berkenaan.

“Benda (pencarian MH370) ini bukan satu perkara yang biasa, ia memerlukan kerjasama rapat daripada pelbagai pihak. Kelebihan yang ada pada kita ialah mempunyai ramai kawan.

“Walaupun aset-aset tidak berada di dalam gengaman kita tetapi kerana hubungan dengan negara-negara yang jauh lebih maju, mereka yang mempunyai teknologi canggih sanggup memberi sumbangan (dalam misi itu),” katanya yang juga Anggota Parlimen Sembrong.

Pada 8 Mac 2014, pesawat Malaysia Airlines MH370 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, China hilang ketika membawa 239 penumpang dan kru.

Pada pertengahan Januari lepas, operasi pencarian pesawat itu disambung dengan kerjasama syarikat penerokaan dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity Ltd bagi tempoh 90 hari.

Ia melibatkan 65 kru termasuk dua pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia yang mewakili kerajaan Malaysia. — Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru