Friday, December 2, 2022

Kerajaan bangunkan Malaysia dengan kompromi dan kerjasama – Najib

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Malaysia sentiasa menjadikan kompromi dan kerjasama, bukan konfrontasi dan perjuangan sempit berlandaskan kepentingan etnik, sebagai prinsip serta pedomannya dalam membangunkan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata tema perpaduan itu amat relevan bagi mewujudkan persefahaman antara kaum dan agama dalam memulihara keamaman dan keharmonian di negara ini.

Dalam ucapan persmian Kejohanan Terbuka Taekwondo Terbuka Dunia Malaysia G1 2018 di sini hari ini, Najib berkata beliau gembira kerana Taekwondo mempunyai peranan dalam menjalin hubungan dan mengukuhkan pendirian masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.

“Marilah kita ketepikan perbezaan politik antara kita dan sebaliknya memainkan peranan masing-masing sebagai ahli sukan tulen dalam membina budaya dan masyarakat penyayang, yang begitu penting bagi mewujudkan sebuah negara Malaysia yang bersatu padu dan harmoni,” kata beliau.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said, Presiden Taekwondo Malaysia (TM) Tan Sri SA Vigneswaran, Timbalan Presiden TM Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib dan Presiden Persekutuan Taekwondo Dunia Dr Choue Chung Won.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kejohanan itu bukan sahaja menjadi platform bagi mempromosi Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan holistk, tetapi juga sebagai pentas politik penting, yang memberi fokus kepada taekwando sebagai tenaga untuk mengeratkan hubungan antara Malaysia dengan negara lain.

Kata beliau, taekwando bukan hanya mendidik tentang seni bela diri, tetapi juga membina kekuatan dalaman seseorang melalui pemupukan nilai seperti menghormati orang lain, disiplin, ketahanan diri dan ketabahan.

“Inilah kualiti yang ingin saya lihat terdapat pada diri generasi belia masa kini dan akan datang di negara ini,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata hubungan siambiosis yang wujud antara Malaysia dan Persekutuan Taekwondo Dunia membawa kepada cadangan penubuhan sebuah Akademi Taekwondo di Malaysia, akademi pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

“Akademi ini akan meningkatkan dengan ketara kemahiran dan prestasi kesukanan prestasi sekumpulan manusia berbakat yang menjadikan Sukan Olimpik sebagai sasaran mereka,” kata beliau.

Sejajar dengan masalah pencari suaka yang begitu dekat di hati beliau, Najib berkata beliau bangga dengan Dr Choue, yang mengambil inisiatif untuk menubuhkan Yayasan Kemanusiaan Taekwondo bagi membela nasib pelarian di seluruh dunia.

“Langkah ini patut dipuji dan seiring dengan komitmen berterusan negara kami, negara pertama yang mengambil inisiatif dan menubuhkan Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazaar,” katanya.

Pada majlis itu, Najib, bagi pihak kerajaan, menyumbangkan RM1 juta kepada Taekwondo Malaysia, manakala Taekwondo Malaysia mendermakan RM60,000 kepada Yayasan Kemanusiaan Taekwondo.

Kejohanan empat hari itu, yang bermula 1 Mac, menyaksikan penyertaaan 607 atlet dari 19 negara.

Pada majlis itu, Perdana Menteri juga dianugerahkan penghormatan tertinggi Taekwondo, 8th DAN (ranking) oleh Dr Choue. Sistem ranking DAN digunakan kebanyakan pertubuhan seni bela diri Jepun dan Korea bagi menandakan tahap kebolehan seseorang dalam bidang pengkhususan tertentu.– BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru