Kembang dan suburkan aktiviti silat untuk generasi baharu — Fadillah

0
4

KUCHING: Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof mahu masyarakat Melayu di negeri ini terus memperkasa dan mengembangkan aktiviti silat agar ia terus subur dalam kalangan generasi baharu.

Menurutnya, sebagai warisan bangsa, seni silat bukan sahaja dipraktiskan sebagai seni mempertahankan diri tetapi juga sebagai salah satu riadah untuk menyihatkan tubuh badan.

“Ia juga membolehkan kita mengeratkan hubungan sesama masyarakat khususnya komuniti pesilat,” katanya ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-70 Perguruan Silat Hidayah Melayu Sarawak di Kampung Masjid baru-baru ini.

Perguruan Seni Silat Hidayah Melayu Sarawak berasal dari Sambas, Indonesia dan diasaskan di negeri ini oleh Allahyarham Dahlan Ismail.

Menteri Kerja Raya itu menambah, beliau sentiasa menyokong apa jua gerakan seni sama ada seni silat Melayu mahupun aktiviti lain yang membawa kepada kebaikan, yang boleh merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Pada majlis tersebut, Fadillah menyumbang peruntukan RM10 ribu untuk membolehkan persatuan tersebut mengadakan pelbagai program.

Antara aktiviti yang dijalankan sempena sambutan tersebut termasuklah persembahan silat, penyampaian anugerah dan bermukun.–Sarawakvoice