Jangan diamkan dividen, kata Abang Jo kepada badan berkanun, syarikat berkait kerajaan

0
4

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak semalam menegur secara terbuka agensi-agensi, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan yang gagal dalam memberikan pulangan pendapatan kepada kerajaan.

Menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, tidak adil bagi kerajaan yang memperuntukan dana kepada agensi, badan berkanun dan syarikat-syarikat terbabit namun mereka tidak mengisytiharkan dividen yang dikutip.

“Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) kaut untung tetapi tidak pernah isytihar kepada pemegang taruhnya, iaitu kerajaan. LCDA ( Lembaga Pembangunan dan Pemuliharaan Tanah Sarawak) belum isytihar dividen, tetapi minta kepada kerajaan ada.

“Saya tidak pasti SEDC (Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak) tetapi majoriti badan berkanun tidak pernah isytihar dividen,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli pada Majlis Penutupan Program Team Building Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli semalam.

Abang Johari berkata, kesemua agensi dan badan ini menyimpan perolehannya ini sendiri dan kesannya, mereka membesarkan organisasi ‘tidak tentu pasal, hingga mendatangkan masalah.

“Dalam ekonomi, kita perlu mengisytiharkan apa sahaja untung yang diperoleh kepada pemegang taruh.

“Dan sebagai pemegang taruh, kerajaan tidak pernah dapat dividen.

“Sebab ini tidak penting … terlalu selesa sebab tidak ada indeks prestasi utama (KPI).

Kalau ada KPI katanya, badan terbabit perlu memperoleh untung dan menetapkan jumlah dividen yang akan diserahkan kepada kerajaan.

“Kerajaan juga perlukan wang dan hasil.

“Kerana itu budaya ini akan kita ubah,” tegasnya.

Harwood Timber katanya, baru-baru ini memohon untuk diitingkatkan premium.

“Saya dah benarkan. Tetapi pastikan, anda (Harwood) dapat untung, dan serahkan kepada kerajaan.

Dengan kaedah ini sahajalah katanya, akan menjadi penanda aras kepada setiap agensi dan badan berkanun di negeri ini menentukan mereka berprestasi atau sebaliknya.

“Kesimpulannya, apa yang kita mahu ialah akauntibiliti.

“Jangan susah, sakitnya akauntibiliti, tuhan akan tolong kita!

“Saya lalui pengalaman ini sendiri dalam karier politik saya,” katanya lagi.

Dalam ucapannya juga, beliau menggalakkan semua kakitangan kerajaan dan agensi bergerak sebagai satu pasukan, bukan bergerak bersendirian.

“Dan juga berteraskan kepada kepercayaan,” katanya lagi. –Sarawakvoice