Monday, December 5, 2022

Uskup Agung Gereja terima banyak pesanan dan panggilan telefon sejak Selasa lalu

Secara Rawak

KUCHING: Uskup Agung Gereja Katolik Kuching, Simon Poh menyifatkan perhatian yang diberikan oleh rakyat Sarawak susulan kejadian gangguan di pekarangan Mahkamah Persekutuan di sini  pada Selasa lalu sebagai rahmat menjadi anak Sarawak.

Poh mengakui sejak kejadian itu, beliau menerima banyak pesanan dan panggilan telefon sehingga bateri telefon bimbitnya kerap kehabisan bateri.

“Terlalu ramai yang menghubungi saya melalui pesanan atau panggilan telefon tidak kira pagi, tengah hari atau malam,” katanya ,sambil menambah beliau tidak mampu membalas kesemua pesanan tersebut.

Oleh itu, katanya, beliau gembira dan bersyukur menjadi anak Sarawak.

“Saya gembira menjadi anak Sarawak. Kita bertuah menjadi anak Sarawak, dan ini merupakan satu rahmat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian St Joseph’s International School di Padungan, di sini yang dilakukan oleh Ketua menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Dalam kejadian Selasa lalu, segelintir individu mengganggu Poh sebaik beliau keluar dari Mahkamah Persekutuan. Namun, sebahagian individu lain melindungi beliau dan video berkenaan menjadi tular di media sosial.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin  berkata mahkamah sebulat suara mencapai keputusan menolak rayuan empat  individu meminta mahkamah sivil mendengar kes murtad mereka dan memutuskan ia tiada merit terhadapnya.

Beliau berkata, mahkamah menolak rayuan itu tanpa kos dan memutuskan isu yang dibangkitkan telah diselesaikan dalam kes-kes mahkamah yang lain.

Katanya, walaupun tiada peruntukan bagi murtad tetapi ada peruntukan atas perkara mengenai tindakan memeluk Islam yang bererti Mahkamah Syariah Sarawak mempunyai bidang kuasa terhadap isu murtad.

Menurutnya, terdapat Seksyen 68 dan 69 Ordinan Majlis Islam Sarawak yang boleh digunakan oleh Mahkamah Syariah Sarawak  untuk mendengar perkara berhubung isu murtad dalam Islam. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru