ROP bukan gimik politik atau ‘gula-gula’ undi

0
7

MARUDI: Bukan gimik politik atau ‘gula-gula’ undi sebaliknya Program kaunter bergerak agensi kerajaan atau ‘River Outreach Programme’ (ROP) merupakan usaha kerajaan untuk mendekatkan penduduk sepanjang sungai Baram yang sukar dihubungi dengan jalan raya dengan perkhidmatan awam.

ADUN Telang Usan, Dennis Ngau berkata, pelaksanaan program berkenaan adalah idea dan usaha yang baik dalam memberi kemudahan perkhidmatan agensi kerajaan kepada rakyat.

Menurutnya, sebanyak lapan buah rumah panjang yang terlibat mendapat manfaat daripada program yang berlangsung.

“Sebagai wakil rakyat kawasan ini, saya merayu program julung kali diadakan ini diteruskan pada masa akan datang.

“Beberapa buah rumah panjang yang sukar dihubungi dengan jalan raya mendapat banyak manfaat daripada program ini,” katanya selepas melancarkan Program River Outreach Programmes (ROP) Sungai Baram di Long Lama, Baram semalam.

Turut hadir Pegawai Kewangan Persekutuan Sarawak, Mohd Saiful Sungkih Abdullah dan Pengarah Rangkaian dan Channel Siaran RTM Malaysia, Jamel Seman.

Pogram kaunter bergerak yang menggunakan bot ekspres tersebut melalui enam perhentian iaitu Long Lama, Uma Akeh, Long Puak, Long Banyok, Long Ikang, Long Sibong, Kuala Tutoh dan Pengelelayan.

Program berlangsung selama tujuh hari bermula 2 hingga 8 Mac dianjurkan Perbendaharaan Malaysia Sarawak (PMS) Kementerian Kewangan Malaysia kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Pejabat Residen Bahagian Miri, Pejabat Daerah Telang Usan dan Pejabat Dearah Marudi.

ROP Sungai Baram tidak hanya ditempatkan di satu-satu tempat yang khusus, tetapi ianya digerak dari satu lokasi ke satu lokasi menggunakan bot ekspres untuk pergi kepada golongan sasar yang telah dikenalpasti.

Ia merupakan satu program one-off atau tidak berulang yang khas dilaksanakan pada tahun ini berfokuskan kawasan perkampungan yang hanya boleh dilalui menggunakan pengangkutan air sahaja dan berada di sekitar persisiran sungai.

Pegawai perubatan ATM memeriksa ADUN Telang Usan, Dennis Ngau di dalam bot ekspres yang digunakan untuk program River Outreach Programme (ROP) Sungai Baram semalam

Dennis berkata, penganjuran ROP Sungai Baram sebagai usaha kerajaan Barisan Nasional untuk membantu masyarakat pedalaman yang menggunakan pengangkutan sungai untuk berurusan dengan agensi kerajaan.

“Kalau ada yang mendakwa ia sebagai gimik politik saya amat tidak bersetuju.

“Penduduk kawasan Telang Usan dan Baram tahu, kami sentiasa menganjurkan program yang dianjurkan menerusi perkhidmatan agensi kerajaan,” katanya.

ROP Sungai Baram berkonsepkan penggunaan bot ekspres swasta dan diiringi oleh bot-bot agensi kerajaan yang turut membantu dari aspek logistik, kawalan keselamatan dan persediaan semasa kecemasan, antaranya adalah bot Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Bot Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (BOMBA).

Bot ekspres swasta ini diubahsuai supaya mempunyai ruang untuk dijadikan pejabat/kaunter bergerak dalam menyampaikan perkhidmatan agensi kerajaan kepada rakyat di setiap perhentian perkampungan terpilih. –Sarawakvoice