SUNGAI PETANI: Konsep Majlis Sambutan Rumah Terbuka yang diamalkan di negara ini akan lebih bermakna sekiranya rakyat turut sama membuka hati dan minda masing-masing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata, selain mampu menggambarkan masyarakat Malaysia sebagai unik dan istimewa, perkara itu sebenarnya adalah asas dan kunci kepada perpaduan nasional.

“Kalau hati kita terbuka dan minda kita minda yang boleh berfikir dengan rasional, maka tak ada sebab mengapa Malaysia tidak akan terus jadi sebuah negara yang bukan saja bersatu padu tapi kepelbagaian itu akan merupakan satu punca kekuatan negara kita dan bukanlah satu permasalahan,” katanya.

Perdana Menteri berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Tahun Baru Cina 2018 Peringkat Kebangsaan di Dataran Amanjaya Mall di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.– BERNAMA