Tuesday, September 27, 2022

Ordinan Majlis Islam Sarawak akan dipinda — Abang Jo

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan melakukan pindaan yang jelas terhadap undang-undang berkait umat Islam yang hendak keluar dari agama tersebut.

Katanya, perkara ini penting agar ia tidak mengundang ketegangan agama di negeri ini.

“Kita akan melihat perkara ini dan akan melakukan pindaan yang perlu.

“Kita mempermudahkan dan melakukan penjelasan kerana urusan agama adalah di antara setiap individu dan tuhannya,” katanya ketika merasmikan Sekolah Antarabangsa St Joseph di Jalan Tan Sri Datuk William Tan di sini.

Dalam sidang media selepas itu, beliau menjelas lanjut bahawa pindaan tersebut kini dalam proses akhir dan akan dibentangkan kepada Dewan Undangan Negeri Sarawak dalam tempoh enam bulan.

“Ada kelompangan dan kekurangan dalam ordinan tersebut dan kita perlu perketat dan perjelaskannya.

“Kita tidak boleh biarkan status seseorang individu itu tergantung.

“Mereka tidak boleh terikat selama-lamanya dengan masalah ini.

Katanya, tindakan ini diambil kerana kasihankan ‘kelompok’ ini.

“Mereka tidak ada lagi kepercayaan dan telah keluar agama.

“Apabila tiada kuasa perundangan, mereka berhadapan dengan masalah kad pengenalan.

“Perlu ada perintah mahkamah yang mengesahkan perkara ini bagi membolehkan pihak Jabatan Pendaftaran Negara melaksanakan urusan pindaan pada kad pengenalannya.

Dalam majlis yang sama, Abang Johari berkata, beliau juga mengekalkan keputusan dua Ketua Menteri terdahulu untuk tidak membenarkan kelompok pelampau untuk memasuki negeri ini.

Jelasnya, harga perpaduan untuk negeri ini adalah mahal dan ia harus dipertahankan.

Abang Johari merasmikan bangunan baharu sekolah itu yang dibina pada harga sekitar RM9 juta.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Gabenor sekolah, Tan Sri Leo Moggie dan Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Seri Michael Manyin Jawong. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru