KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata maju atau mundur sesebuah negeri bergantung kepada komitmen, kesungguhan, dedikasi dan intregriti anggota perkhidmatan awam.

Beliau berkata kejayaan itu tidak kurang juga bergantung kepada hubungan baik kerajaan negeri dan pusat khususnya dari segi hubungan politik dan pentadbiran, selain hubungan pejawat awam persekutuan dan negeri.

“Itulah faktor kejayaan Sabah pada masa kini. Hubungan politik dan pentadbiran antara kerajaan negeri dan pusat sangat serasi. Hubungan saya dengan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman sangat serasi.

“Apatah lagi komitmen saya untuk Sabah. Saya sangat komited untuk masa depan Sabah…ini bukan retorik politik kerana pilihan raya semakin dekat. Dari segi dalil atau bukti, orang cakap, saya telah banyak lakukan untuk Sabah, khususnya dari segi peruntukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan Tahun 2018 di Bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman, Setiusaha Kerajaan Persekutuan Datuk Nor Rizan Mohd Tani, dan menteri-menteri Kabinet negeri.

Najib berkata sejak menjadi perdana menteri beliau telah melakukan banyak perkara untuk Sabah, khususnya dari segi peruntukan bagi pembangunan di negeri ini.

Musa mengatakan peruntukan yang diterima oleh Sabah sejak saya menjadi perdana menteri telah meningkat. Pada Rancangan Malaysia Ke-8 iaitu di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) hanya memperuntukkan sebanyak RM1.42 bilion kepada Sabah.

Semasa Rancangan Malaysia Ke-10 di bawah pimpinan saya, KKLW menyalurkan sebanyak RM7.6 bilion kepada Sabah dan setakat ini KKLW telah menyalurkan sebanyak RM10.6 bilion kepada Sabah, tambahnya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata selain peruntukan melalui bajet yang ditetapkan, kerajaan persekutuan juga telah menyalurkan peruntukan khas kepada Sabah seperti peruntukan mudah cara sebanyak RM500 juta untuk membina Tanjung Aru Eco Development dan peruntukan sebanyak RM250 juta untuk pembangunan Sabah International Convention Centre (SICC).

Najib berkata sejak menjadi perdana menteri beliau juga melantik tujuh anggota Kabinet dan menyokong untuk menjadikan ketua-ketua agensi atau jabatan di Sabah dijawat oleh orang Sabah.

“Saya sentiasa melihat bakat orang Sabah… oleh itu sebelum ini kerajaan juga telah memutuskan 90 peratus guru di Sabah adalah anak Sabah dan kini ia telah mencapai lebih daripada 80 pertus.

“Selain itu 95 peratus jururawat di Sabah juga adalah orang Sabah. Kita mahu mereka bekerja di tempat sendiri dan kita mahu dalam masa lima tahun akan datang tiada lagi sekolah-sekolah daif di Sabah, dan kita akan selesaikan semua masalah bekalan air, elektrik dan jalan raya pada tahun mendatang,” tambahnya.

Pada masa sama, Najib berkata beliau akan sentiasa mempertahankan semua pejawat awam termasuk 135,347 orang pejawat awam negeri dan persekutuan di Sabah.

“Kita telah beri macam-macam kepada pejawat awam termasuk kenaikan pangkat mengikut ‘time-based’ (tempoh perkhidmatan) kumpulan pelaksana untuk 13 tahun dan beri persaraan penuh kepada pejawat awam yang mempunyai masalah kesihatan.

“Inilah kerajaan pada masa kini… dan kalau kita mahu negara terus maju, pejawat awam perlu bekerjasama secara berkumpulan. Oleh itu saya akan terus komited untuk naikkan maruah dan kebajikan pejawat awam,” katanya.– BERNAMA