KUALA LUMPUR: Bekas naib pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menegaskan di Mahkamah Tinggi bahawa kenyataan dikeluarkannya berhubung perjanjian sulit antara bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Penasihat DAP Lim Kit Siang, adalah benar dan berasas.

Kenyataan itu adalah tentang perjanjian sulit bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dijanjikan jawatan perdana menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-14.

Tunku Abdul Aziz, 84, yang menyambung keterangannya semalam, berkata beliau amat pasti dengan sumber yang diperolehinya sebelum menulis kenyataan itu dan penulisannya adalah berasas.

“Saya amat pasti dan menggunakan pertimbangan sewajarnya ketika menulis kenyataan tersebut,” katanya ketika pemeriksaan balas peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Mukhriz.

Kepada soalan kenyataan mengenai perjanjian sulit itu dibuat tanpa asas dan bukti kukuh, malah diambil daripada blog Raja Petra Raja Kamarudin iaitu individu yang pernah didakwa di bawah Akta Hasutan dan kini melarikan diri ke United Kingdom, beliau tidak bersetuju.

Tunku Abdul Aziz berkata ini kerana blog Raja Petra bukan satu-satunya sumber yang diambil oleh beliau ketika menulis kenyataan berkenaan.

“Saya memperoleh sumber bagi penulisan itu dengan banyak membaca setiap hari selain merujuk kepada akhbar, blog dan laman Facebook.

“Itu adalah asas kepada penulisan saya dan saya membuat kesimpulan melaluinya. Ia adalah satu pandangan dan saya bukan individu yang senang untuk membuat silap,” jelas Tunku Abdul Aziz, selaku defendan dalam kes saman tersebut.

Sementara itu, Tunku Abdul Aziz dalam pernyataan saksinya berkata kenyataan yang dikeluarkan itu bukan bertujuan untuk menghina atau menjatuhkan maruah Mukhriz, tetapi bertindak berlandaskan kepercayaan di mana kepentingan rakyat perlu diutamakan.

“Saya percaya saya perlu berkongsi maklumat yang berasas dan penting terutamanya maklumat berkaitan dengan kepimpinan negara dan rakyat Malaysia supaya rakyat dapat mengetahui dan memilih kepimpinan negara yang berkaliber dan sesuai dalam pandangan rakyat,” jelasnya.

Katanya, kenyataan pertama yang dikeluarkan pada 30 Disember 2016 dibuat atas sebab munasabah dan diperolehi daripada sumber media yang dikeluarkan oleh masyarakat, rata-ratanya membuat persoalan tentang keakaraban yang dapat dilihat antara Dr Mahathir dengan Lim.

“Berdasarkan sumber-sumber yang didapati daripada pembacaan dan pemerhatian, saya rasakan adalah tidak adil kepada rakyat yang mengundi apabila mereka dibiarkan tertanya-tanya akan permainan politik pihak pembangkang,” katanya.

Tunku Abdul Aziz turut menjelaskan beliua hanya mengutarakan pendapat supaya pengundi tahu akan kepimpinan politik yang dirancang oleh pakatan pembangkang agar mereka tidak tertipu apabila membuat pilihan dan mengundi calon mereka untuk memimpin negara kerana rakyat bukan hanya mengundi untuk sesebuah parti tetapi mereka mengundi untuk Malaysia.

Pada 7 Februari 2017, Mukhriz yang juga Adun Ayer Hitam, Kedah memfailkan saman dengan mendakwa pada 30 Disember 2016, defendan mengeluarkan satu kenyataan bertajuk “Memang Wujud Pakatan Sulit antara Tun Mahathir dan Kit Siang” yang dilaporkan dalam blog AIDCNews.

Beliau mendakwa, pada 1 Januari 2017, pihaknya ada membuat penafian secara terbuka dan mengemukakan notis tuntutan meminta defendan membuktikan kenyataan fitnah itu dan sekiranya gagal, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap defendan.

Bagaimanapun, pada 3 Januari 2017, defendan ada menerbitkan atau menyebabkan terbit satu lagi kenyataan media bertajuk “Tunku Abdul Aziz gesa Mukhriz, Kit Siang buat pengakuan bersumpah”.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Nordin Hassan bersambung 6 Mac. –BERNAMA