KUCHING: Menjelang 2021 Hospital Umum Sarawak (HUS) akan mempunyai 1,789 tapak parkir kenderaan, 160 bilik perubatan, tujuh pusat operasi (OT), pemantau pembedahan, bank darah dan makmal patologi.

Turut tersedia dalam tempoh tiga tahun akan datang itu, sebuah makmal pusat sistem bersepadu, ruang makan, sembilan kedai komersial serta kemudahan boleh menampung sehingga 60 katil tambahan.

Pembinaan ini merangkumi Pusat Penjagaan Harian (DCC) tiga tingkat dan sebuah Medi-Hotel (Meditel) dan MSCP Utara setinggi 15 tingkat.

Projek pembangunan semula dan naik taraf HUS menelan kos RM351 juta itu, mula dilaksanakan pemaju Asaljuru-Weida Sdn Bhd.

Menurut Pengarah Projek Asaljuru-Weida Sdn Bhd, Jason Ng, pembangunan semula HUS yang tertubuh pada 1870 itu bermula dengan fasa pertama.

Foto : Fiksyen Shasha

Bercakap pada sesi taklimat bersama pihak kontraktror dan media pada Majlis Rumah terbuka Tahun Baru Cina di tapak Pembangunan Hospital Umum Sarawak, Jalan Hospital, Jason berkata, pihaknya menghadapi pelbagai cabaran menyiapkan projek ini antaranya tapak projek dijalankan berdekatan dengan operasi hospital.

Cabaran lain ialah mengadakan penempatan semula utiliti, selain perlu waspada kerana aktiviti meroboh struktur sedia ada berdekatan dengan operasi hospital.

Pihak kontraktor juga perlu peka dengan keperluan kawalan jangkitan dan waktu kerja yang terhad.

Kontraktor juga berdepan masalah dengan pembekal dan perlu menyelesaikan isu dengan pengilang IBS yang terhad, pembekal bahan dan tenaga kerja mahir berikutan projek berskala besar lain yang kini turut berjalan di Sarawak.

Bagaimanapun, pihak kontraktor menjalankan beberapa langkah meminimumkan kesulitan dialami pengguna seperti melakukan Kerja Persediaan untuk Kemudahan Awam (PWPC) semasa menyiapkan projek.

Hal ini termasuk fungsi mengakses pintu pagar, menyediakan tapak parkir kereta staf dan awam serta pengurusan lalu lintas dan meletak papan tanda lebih besar dan jelas untuk keselamatan pengguna.

Sementara, Pengarah Asaljuru Weida Sdn Bhd Datuk Lee Choon Chin dalam kenyataannya berkata projek ini amat dinantikan dan menjadi perhatian orang ramai.

Menurut Lee, bangunan hospital baharu yang dibina bersebelahan hospital yang sedang beroperasi, memerlukan pihak kontraktor meminimumkan kesan bunyi dan habuk.

“Ini bukan seperti anda lihat di tapak binaan biasa… kami juga memerlukan pekerja berkemahiran tinggi dalam melaksanakan projek ini agar ia dapat berjalan lancar setiap hari tanpa ada masalah,” ujar Lee. –Sarawakvoice