KM berusaha keras sediakan laluan jelas bawa negeri, rakyat menuju digitalisasi

0
3

KUCHING: Sarawak tiada pilihan selain terlibat ekonomi digital yang berlaku di seluruh dunia hari ini, jika tidak ia ketinggalan memandangkan perubahan yang berlaku tidak menunggu sesiapa.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata bersama-sama ahli kabinet negeri, beliau bersetuju mengukuh dan menguatkan kedudukan ekonomi dengan merancang dan melaksananya dalam tempoh setahun.

Melalui teks ucapan beliau yang dibaca oleh Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Micheal Manyin Jawong pada Malam Gala Sarawak Dialogue 2018, Abang Johari berkata sebagai ketua menteri beliau berusaha menyediakan laluan jelas bagi rakyat khususnya bagi golongan muda menuju digitalisasi.

Kelulusan Ordinan Multimedia Sarawak tahun lalu turut membantu menyediakan arah jelas negeri ini menuju digitalisasi.

Berkaitan Sarawak Dialogue 2018, Abang Johari berkata, program tersebut menjemput pakar sektor awam dan swasta dengan pelbagai latar belakang serta kemahiran industri seperti sukan, pelancongan dan kewangan digital bertepatan dengan aspirasi kerajaan negeri untuk berkongsi kemahiran mereka itu.

Pakar ini menyentuh berkaitan perubahan baharu dan inovasi pelbagai bidang yang rancak berlaku di dalam negara serta seluruh dunia.

Dalam dialog tersebut, isu pendidikan antara bidang yang dibincangkan dengan penceramah memberi pandangan dan pendekatan terbaharu dunia pembelajaran dan pendidikan.

Menurut beliau, selain kaedah penggunaan gelombang peta minda dalam mengasah kemahiran, terdapat pendekatan terbaru pembelajaran menerusi keusahawanan kreatif yang membolehkan pelajar mendapat maklumat melalui kaedah “menyeronokkan” dan bukan pendekatan berbentuk “tekanan”.

Beliau berkata antara usaha mentransformasi Sarawak, beberapa gagasan bernas ahli panel Sarawak Dialogue 2018 diambil kira oleh Kerajaan Negeri dan akan dilaksanakan. –Sarawakvoice