KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin pendemokrasian pendidikan yang sedang dilaksanakannya merupakan formula berkesan untuk menghapuskan jurang pembangunan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Katanya melalui formula berkenaan, semua rakyat Malaysia di manapun mereka berada, mempunyai akses bukan sahaja untuk mendapatkan pendidikan tetapi akses kepada pendidikan berkualiti.

“…Kalau kita ingin meniti zaman itu dengan jayanya, mengangkat martabat dan darjat sesebuah bangsa dan negara, ia mestilah melalui penguasaan pendidikan dan ilmu, kerana bila ada ilmu, kita ada kekuatan, kerana kekuatan hakiki bukan di hujung senjata tetapi minda yang sarat dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran.”

“Sebab itu bila kita sebut tentang usaha kita supaya Sabah dapat dibangunkan seimbang dengan Semenanjung, bila kita nak menghapuskan apa yang dikatakan jurang pembangunan, maka titik tolaknya adalah dengan membangunkan sistem pendidikan di Sabah,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Projek Pembinaan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah, di Kampus Induk UMS di sini hari ini.


Turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yan Kain Ching, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin.

Justeru, kata Najib, keprihatinan tinggi beliau terhadap pembangunan sektor pendidikan di negara ini, tidak terkecuali Sabah, bukan perkara baharu kerana ia telah ditunjukkan sejak beliau menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1995 lagi dengan menubuhkan UMS.

Katanya komitmen beliau sebagai Menteri Kewangan untuk memperkasakan pendidikan di Sabah terus dilaksanakan sejak beliau menjadi perdana menteri dan yang terbaru meluluskan RM1 bilion untuk negeri ini menaik taraf sekolah-sekolah daif di Sabah seperti diumumkan dalam Bajet 2018 bagi menyediakan kemudahan selesa untuk pelajar.

Perdana menteri berkata dengan adanya prasarana lebih baik dan berkualiti, impian ramai anak-anak Sabah yang mempunyai potensi untuk terus maju dalam bidang pendidikan dapat direalisasikan.

Hari ini, semakin hari semakin nyata di mana rakyat Sabah dapat peluang pendidikan yang jauh lebih baik, katanya.– BERNAMA