BARU sahaja terbaca satu laporan portal beritaMalaysia Date Line pada 27 Februari 2018 bertajuk “Musuh PAS Bukan Umno, Kata Mahfodz” yang dikongsi oleh Pengerusi PAN Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh, di laman Facebook beliau dengan catatan “Sudah terang lagi bersuluh..”

Laporan portal berita Malaysia Date Line ini merupakan ulasan penulisnya, “Amni Jagat”, ke atas ucapan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, dalam Ceramah Fastaqim 2.5 H10K JDT di Dataran Istiqamah, Kampung Parit Haji Salleh Ros, Parit Raja, Johor, pada 24 Februari 2018.

Transkrip ucapan Datuk Dr Mahfodz dalam Ceramah Fastaqim 2.5 H10K JDT, yang disediakan oleh oleh Pelatih Harakah, Zaid Md Adhar, ini pula telah disiarkan oleh lidah rasmi PAS, Harakah Daily, pada 25 Februari 2018, di bawah tajuk “Calon PAS Lebih Hebat Dari Bekas PJ”.

Membandingkan laporan portal berita Malaysia DateLine dengan transkrip ucapan Datuk Dr Mahfodz, saya agak terperanjat apabila seorang pemimpin yang mempunyai tahap pendidikan dan kerjaya yang baik seperti Datuk Dr Ismail boleh terpengaruh dengan propaganda murahan begini.

Ini kerana mereka yang membaca transkrip ucapan Datuk Dr Mahfodz akan menyimpulkan bahawa laporan portal berita Malaysia Date Line ini mengandungi niat jahat untuk memburukkan imej PAS dengan menimbulkan persepsi PAS bersekongkol dengan Umno dalam PRU 14.

Laporan portal berita Malaysia Date Line ini memang boleh disifatkan sebagai mengandungi niat jahat kerana, berdasarkan transkrip, Datuk Dr Mahfodz langsung tidak menyebut di dalam ucapan beliau perkataan “Musuh PAS Bukan Umno” yang dijadikan sebagai tajuk kepada laporan ini.

Benar disebutkan oleh Datuk Dr Mahfodz bahawa PAS Johor wajib mempertahankan empat kerusi DUN yang ia menangi di dalam PRU-13 dahulu, “termasuklah DUN Parit Yaani yang ada di Kawasan Sri Gading ini, yang itu nombor satu wajib tuan-tuan, pasal kita nak jatuhkan Parti AMANAH yang tak amanah”.

Walaupun begitu, bila kita membaca transkrip ucapan Datuk Dr Mahfodz, dapat difahami dengan mudah bahawa PAS Johor tidak pernah menganggap Umno Johor sebagai bukan musuhnya, malah tanpa disebutkan namanya pun pembaca boleh menyimpulkan Umno Johor adalah musuh PAS Johor.    

Disebutkan dengan terang dan nyata oleh Datuk Dr Mahfodz: “Lepas itu kita juga daripada dulu nak membuktikan bahawa PAS Johor lebih kuat, lebih subur, maka kita berusaha sungguh-sungguh untuk menang tiga kali ganda daripada yang kita menang pada PRU 13 dulu, iaitulah 12 DUN di Johor ini”.

Ditambah pula dengan penegasan sama mengenai 18 kerusi Parlimen yang akan PAS tandingi di Johor: “Kita mesti bantu PAS Pusat untuk menang sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen. Tak akan Johor tak boleh sumbangkan satu, dua, tiga, empat, lima ke tak boleh? Boleh tak tuan-tuan?”

Untuk menang 12 kerusi DUN di Johor selain untuk menang kerusi Parlimen di Johor ini maka sudah tentulah calon PAS terpaksa mengalahkan calon Umno kerana calon PAS akan berhadapan dengan calon Umno di kerusi-kerusi tersebut, sekali gus menjadikan Umno sebagai musuh PAS.

Takkanlah perkara yang sesenang ini, yang boleh ditanggapi dengan mudahnya oleh pembaca biasa, tidak boleh difahami oleh seseorang yang berjawatan sebagai Pengerusi PAN Negeri seperti Datuk Dr Ismail? Inilah yang terjadi bila sudah terlalu benci sehingga emosi lebih menguasai hati.

Turut diperlekehkan di dalam laporan portal beritaMalaysia Date Line ini adalah bahawa PAS Johor tidak berminat untuk memerintah negeri Johor dengan menyebut “PAS Johor hanya menyasarkan kemenangan bagi 12 kerusi DUN Johor sahaja dan tidak berminat untuk memerintah negeri Johor”.

Masalahnya, bila PAS meletakkan sasaran tinggi di peringkat Pusat dan di sesetengah negeri maka PAS dikritik hebat dengan dakwaan kononnya bermimpi terlalu tinggi, tetapi apabila PAS meletakkan sasaran yang realistik di negeri lain seperti Johor maka PAS dikritik pula sebagai tidak bercita-cita tinggi.

Susah juga untuk menjadi sebuah parti politik seperti PAS ini rupanya, buatlah apa sekalipun ia tetap akan sentiasa dikritik oleh rakan-rakan pembangkangnya. Namun, kepada rakan-rakan saya di dalam PAS, teruslah maju ke hadapan, usahlah ditakutkan kepada celaan orang-orang yang suka mencela. –Srawakvoice 

Dr Kamarul Zaman Yusoff ialah penganalisis politik dan pensyarah di Universiti Utara Malaysia. 

Dr Kamarul Zaman Yusoff