Ke manakah undi kaum Cina?

0
5

Akhir- akhir ini timbul polemik berkaitan ke mana undi kaum Cina pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ia mendapat perhatian apabila seorang blogger tersohor menulis mengenainya.Ia juga terkait penulisan blogger yayg sama yang kononnya philanthropist Tan Sri Robert Kuok membiayai parti DAP, yang kemudiannya dinafi oleh beliau.

Isu pengundi Cina tidak seharusnya dilihat dari sudut perkauman.Ini kerana masyarakat Cina adalah sebahagian dari bangsa Malaysia itu sendiri.

Sejak berkurun lamanya dari zaman sebelum pun merdeka, masyarakat Cina ialah “part and parcel” masyarakat Tanah Melayu. Malah proses menuntut kemerdekaan itu sendiri turut melibatkan penglibatan aktif masyarakat Cina.

Setelah merdeka, perlembagaan negara telah dengan jelas memberi kedudukan, hak dan kebebasan bernegara kepada masyarakat Cina negara kita.Dalam kata lain masyarakat Cina adalah sebahagian dari kita.

Gambar hiasan

Peranan masyarakat Cina dalam negara kita pasca kemerdekaan juga sangat signifikan.

Melalui gagasan Perikatan, dan kemudiannya Barisan Nasional (BN), masyarakat Cina bahu-membahu memimpin, mentadbir dan memerintah negara. Mereka menerusi pelbagai platform parti politik telah memainkan peranan penting dalam proses ‘nation building’ negara kita.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan masyarakat Cina telah menjadi antara enjin memperkayakan dan mensejahterakan negara.

Masyarakat Cina sudah berasimilasi dengan baik sebagai bangsa Malaysia walau ada perkara yang belum berlaku secara paling ideal.

Hanya seketika iaitu selepas tiga tahun tertubuhnya DAP khususnya menjelang PRU 1969, sentimen perkauman memuncak.

“Deklarasi Setapak” oleh DAP misalnya memberi isyarat yg salah dan berupa “time bomb” kepada Negara dan Bangsa Malaysia.

Sejak itu polarisasi kaum terus wujud meskipun secara pasang surut dan DAP terus mendapat untung dari situasi tersebut.

Dalam suasana perpecahan berlaku di kalangan parti politik Melayu akibat perebutan kuasa dan jawatan DAP telah mengambil peluang semaksimum mungkin untuk mereka terus mengaut untung.

Dalam situasi ini, parti berhaluan sederhana kalangan masyarakat Cina khususnya MCA dan Gerakan telah menjadi mangsa dan representasi mereka dalam kerajaan menjadi semakin lemah manakala DAP bertambah kuat dengan sokongan masyarakat Cina.

DAP kini memimpin pembangkang dan berkeupayaan mencorakkan dasar pakatan mereka kerana jumlah kerusi yang mereka kuasai jauh mengatasi pihak lain.

Isu ke mana undi masyarakat Cina PRU-14, atau berlakukah “tsunami Cina” menentang BN sebenarnya tidak perlu dimomokkan secara prejudis atau rasis.

Sejarah membuktikan pengundi Cina sangat pragmatik. Mereka boleh saja melakukan ”pendulum” atau mereka boleh juga ambil pendirian “tidak apa”.

Mereka sudah memberikan “INI KALI LAH” pada PRU 13….tidak mustahil mereka seterusnya mengambil sikap “Tak apalah” kali ini dalam PRU-14.

Mengenai Tan Sri Robert Kuok, saya tidak pasti kebenaran dakwaan beliau membantu DAP dan saya tidak rapat dengannya.Tapi saya tahu beliau seorang dermawan dan banyak membantu pelbagai pihak termasuk kerajaan dan parti pro kerajaan.

Saya percaya beliau tidak akan melakukan sesuatu yang tidak baik dan menjejaskan kestabilan politik negara atau yayg boleh melemahkan ekonomi negara. Sebagai peniaga dan pelabur saya percaya beliau menghargai ”Kesederhanaan, Kestabilan, Kemakmuran Yang Kita Bina Selama Ini”.

Sebagai rumusan, masyarakat Cina akan tetap menjadi sebahagian dari teman setia Bangsa Malaysia.

Mereka tetap merupakan rakan kongsi BN yang sangat penting. Aspirasi mereka harus kita beri perhatian dan kefahaman dalam suasana penuh keterbukaan dan berjiwa Malaysia, selagi mana ianya tidak lari dari roh dan semangat Perlembagaan Negara kita.–Sarawakvoice

Tan Sri Annuar Musa ialah Ketua Penerangan UMNO Malaysia