Friday, October 7, 2022

Dua wira terkorban hari ini, lima tahun lalu

Mengimbas tragedi berdarah Kampung Tanduo, Lahad Datu

Secara Rawak

Hari ini genap lima tahun dua wira komando VAT 69 terbunuh manakala tiga lagi cedera ketika insiden serangan kumpulan penceroboh di dalam insiden serangan di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Mangsa yang cedera memberitahu, insiden tepat jam 9.59 pagi itu berlaku ketika Tentera Diraja Kesultanan Sulu menggunakan taktik kotor.

“Sebaik melihat anggota komando VAT 69 berada pada jarak 75 meter, anggota penceroboh bertindak mengangkat bendera putih yang diikat pada raifal masing-masing sebagai tanda kononnya mereka mahu menyerah diri.

“Pasukan kita dalam posisi meniarap dan sedia untuk bertindak, tetapi melihat keadaan itu dan atas dasar mahu berunding, pasukan keselamatan negara bertindak menghampiri kumpulan penceroboh tetapi setelah mereka memasuki jarak 25 meter, anggota komando VAT 69 kemudian ditembak bertalu-talu.

Tembakan tersebut katanya, tepat mengenai kepala Allahyarham Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud, menyebabkan kedua-dua wira negara itu mati serta-merta di tempat kejadian manakala tiga yang lain cedera di bahu, kaki, tangan serta punggung.

Gambar fail

Menurutnya, pasukan VAT 69 kemudian menyerang balas dan berjaya membunuh 12 anggota kumpulan penceroboh, seorang cedera dan 10 lagi menyerah diri walaupun musuh berada pada kedudukan lebih strategik iaitu di atas bukit.

Dalam pada itu, salah seorang anggota keselamatan yang tercedera memberitahu, semasa kejadian kesemua anggota berkenaan tidak berhasrat mahu berperang, sebaliknya ikhlas mahu mengadakan rundingan.

“Selepas menaikkan bendera putih, anggota keselamatan kita terus menghampiri mereka dengan sangkaan baik.

“Namun, apabila semakin hampir mereka ditembak.

“Pada masa itu, anggota VAT 69 hanya mampu merangkak memandangkan pasukan penceroboh berada di kawasan berbukit tetapi pasukan keselamatan negara tetap menyerang balas tanpa rasa takut sehingga akhirnya berjaya membunuh ramai musuh,” katanya.

Beliau yang enggan namanya disiarkan menambah, kumpulan penceroboh juga bersikap ‘kurang ajar’ apabila melambai-lambai tangan semasa anggota VAT 69 bertungkus-lumus membawa rakan mereka ke kawasan yang lebih selamat.

Senarai wira yang terkorban:

Inspektor 17992 Zulkifli Mamat Koperal 113088 Sabarudin Daud

Senarai wira yang tercedera;

Koperal 135383 Azman Ampong Koperal 152133 Mohd Tarmizi Hashim Konstabel 176533 Mohamad Qaiyum’aiqal Zolkifli –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru