Saturday, May 21, 2022

Abang Jo mahu karya tempatan diarusperdanakan melalui layar filem, portal digital

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak mahu kalangan penulis dan penggiat sastera di negeri ini terus memainkan peranan dalam melahirkan masyarakat yang inovatif dan berfikiran kreatif.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau yakin usaha ini dapat direalisasikan memandangkan semakin ramai dalam kalangan penggiat sastera negeri ini yang mencapai kejayaan cemerlang di peringkat kebangsaan dan Asia Tenggara.

“Bahasa adalah suatu perkara yang perlu dipertahankan kerana ia merupakan identiti ketamaduanan bangsa kita.

“Seperti kata Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang: ‘maruah bangsa ialah kemerdekaannya, kekuatan suatu bangsa ialah bahasanya, keperibadian suatu bangsa ialah kebudayaannya,” tegasnya sewaktu menyampaikan aluan sempena Majlis Penyampaian Anugerah Sastera Negeri Sarawak 2017 di Hotel Pullman malam tadi.

Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, menyedari kepentingan kelompok sasterawan ini, Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai inisiatif, dana, program latihan, dan galakan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.

“Malah sumbangan penulis turut diiktiraf menerusi Hadiah Sastera Negeri Sarawak dan Anugerah Sastera Negeri Sarawak,” jelasnya lagi.

Tradisi penulisan berbudaya tinggi berwahana bahasa Melayu ini katanya, perlu ditingkatkan manakala sumbangan berkualiti kelompok sasterawan dan penulis terus dituntut.

“Ia amat signifikan dalam menyemarakkan pembangunan industri kreatif di negeri ini.

Beliau turut berharap lebih banyak karya penulis Sarawak dalam pelbagai genre diangkat ke pentas teater dan layar perak, sebagai alternatif mengetengahkan karya-karya terbaik dan bermutu dari sini.

“Karya-karya penulis kita unik kerana kaya dengan warna-warna tempatan, bersumberkan seni bahasa, seni sastera dan seni budaya pelbagai etnik.

“Ia turut menyerlahkan keunikan, keharmonian dan ketinggian nilai hidup bermasyarakat pelbagai kaum,” katanya lagi.

Dalam ucapannya juga, Abang Johari turut mencadangkan karya-karya penulis Sarawak diarusperdanakan melalui portal digital.

“Menjelang tahun 2050, semua lapisan masyarakat akan dapat mengakses karya mereka lantas menjadikan penulis Sarawak sebagai rujukan oleh peminat sastera di peringkat antarabangsa.

“Ini akan mempopularkan karya-karya penulis Sarawak,” jelasnya lagi. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru