Saturday, May 21, 2022

Hubungan sosial generasi baharu Sarawak ‘terancam’ – Tun Abdul Taib

Tumpuan kepada ekonomi, pekerjaan punca interaksi terhakis

Secara Rawak

KUCHING: Tumpuan kepada kemakmuran ekonomi serta kepesatan teknologi tidak harus mengabaikan pembentukan hubungan sosial dalam kalangan rakyat.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud berkata, perkara ini  menjadi ‘ancaman’ pada masa depan kerana tumpuan dan kesibukan bekerja menyebabkan rakyat semakin mengabaikan interaksi sosial.

“Kita tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan.

“Kita harus memikir apakah bentuk masyarakat yang akan muncul apabila kita sudah berjaya dalam proses kemodenan nanti.

“Bayangkanlah bagaimana kita memiliki kejayaan cemerlang tetapi rakyat kita tidak bercampur, tidak banyak berbual, dan tidak mempunyai hubungan sosial, di antara sesama mereka,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Penyampaian Anugerah Sastera Negeri Sarawak 2017 di Hotel Pullman pada Isnin.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukann, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang mewakili Ketua Menteri Sarawak dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abdul Adzis Abbas.

Kerana itu lanjutnya, semua pihak perlu melihat perkara ini secara mendalam, malah sudah tiba masanya berusaha untuk memperbaiki hubungan ini agar ia tidak menjadi terlalu sangat terpisah, di sebalik perjuangan untuk kemajuan saintifik dan ekonomi.

“Jika ini dibiarkan, suatu ketika nanti masyarakat kita akan mempunyai suatu bentuk hidup yang terpaksa meminjam cara-cara budaya orang lain untuk mencari  ketenangan dan memnatapkan hubungan sosial sesama mereka.

Menyentuh tentang sastera dan budaya Sarawak, beliau mahu para penulis dan penggiat sastera generasi baharu di negeri ini meningkatkan kemampuan mereka agar dapat menghasilkan karya yang mendukung ‘suara rakyat’ kepada khalayak pembaca.

“Kita kini masih berharap kepada ‘penulis lama’, yang memberi banyak sumbangan kepada pergerakan sastera kita.

“Bagi golongan yang baharu muncul, kita lihat mereka masih belum ‘cukup masak’ hingga dapat menggambarkn perasaan dan perjuangan rakyat, apatah lagi menentukan masa hadapan kita.

“Sebagai penulis mahupun badan penulis, kita perlu tanya sejauh manakah kita telah mengangkat sastera ini hingga menjadi sebahagian daripada tajuk perbualan kita sehari-hari.

Menurutnya, sastera dan budaya kini semakin terancam kerana dek pembangunan ekonomi, dan ia tidak lagi mampu menarik sokongan dan minat sebahagian besar rakyat.

“Kita faham ini perkara biasa (kerana kemodenan) dan saya percaya, pemerintah telah pun cuba sedaya upaya untuk mengelak ancaman ini menerusi transformasi sosialnya.

Selain menyampaikan anugerah kepada para pemenang, Abdul Taib turut melancarkan buku ‘P. Ramlee Di Mana Kan Kucari Ganti’ karya Allahyarham Datuk Aziz Sattar.

Buku berharga RM150 ini ditulis oleh arwah pada tahun 2013 dan diterbitkan oleh Matin Energy Sdn Bhd. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru