Tuesday, June 28, 2022

Tengku Adnan: UMNO tidak luput dalam waktu terdekat

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir pihak yang mendakwa bahawa cawangan UMNO di seluruh negara bakal luput dalam masa terdekat lantaran penangguhan pemilihan parti adalah tidak benar, bidas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurut beliau dalam satu kenyataan hari ini, dakwaan tersebut sengaja ditularkan bagi mengelirukan orang ramai khususnya ahli-ahli UMNO dan para penyokongnya selain usaha pihak tertentu untuk memburukkan parti.

Beliau memaklumkan bahawa Penangguhan Pemilihan UMNO yang telah diputuskan sebelum ini akan dijalankan selewat-lewatnya pada 19 April 2019.

“Hal tersebut telah diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO dan mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS),” katanya.

Kelulusan penangguhan pemilihan tersebut merujuk kepada Seksyen 13A (4) Akta Pertubuhan 1966, Pendaftar Pertubuhan berkuasa untuk melanjutkan tarikh/waktu pemilihan Pertubuhan berdaftar dengan syarat suatu permohonan bertulis dibuat. “UMNO adalah sebuah pertubuhan politik yang sah dan tetap berpegang kepada perundangan yang ditetapkan oleh ROS,” ujarnya dalam kenyataan itu.

Katanya, alasan utama penangguhan tersebut adalah bagi memastikan kesempurnaan perjalanan parti selaras Fasal 10.15 Perlembagaan UMNO dengan proses pemilihan dalam UMNO berjalan lancar.

Selain itu, katanya, ia juga mengambil kira faktor keadaan semasa politik parti khususnya dan negara amnya.

Selaras dengan itu, beliau menegaskan bahawa UMNO masih berkuat kuasa di semua peringkat dan melaksanakan tanggungjawabnya sebagaimana terkandung dalam asas dan tujuan penubuhannya.

Beliau menasihati orang ramai khususnya ahli UMNO agar tidak mudah terpedaya dengan penularan berita berkaitan parti, sebaliknya mereka perlu membuat semakan dengan ibu pejabat UMNO terlebih dahulu agar tidak tertipu.–Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru