Sunday, August 14, 2022

Ketua Biskop: Kekalkan keharmonian hidup di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Uskup Agung Kuching Simon Poh menekankan perlunya rakyat pelbagai kaum di Sarawak terus mengekalkan keharmonian di negeri ini di sebalik kes Mahkamah Persekutuan Kuching membatalkan permohonan empat individu warga Sarawak untuk mengisytiharkan diri mereka keluar daripada Islam, pagi tadi.

“Pihak berkuasa Islam telah menunjukan sikap baik hati mereka yang membantu supaya saya berada di sini hari ini,” katanya selepas kes mahkamah pagi tadi.

“Di Sarawak, kita berkerja sebagai teman, Kita kekalkan keharmonian di negeri ini. Jangan biarkan emosi menguasai segalanya, dan saya percaya pihak berkuasa negeri, termasuk Ketua Menteri sedang memerhati perkembangan ini,” katanya kepada pemberita, sambil berkali-kali meminta agar isu gangguan tidak dilaporkan, sebaliknya pentingnya keharmonian terus dipertahankan.

Video yang memuatkan kenyataan beliau viral. Pioh menyifatkan gangguan terhadapnya sebagai kes terasing

“Kita akan lakukan yang terbaik untuk keharmonian – membina semulaa keharmonian. Saya fikir ia kes yang terasing, dan bagi kebanyakan kita, kita masih sahabat,” katanya.

Ujar Poh, gereja katolik menghormati keputusan mahkamah pagi tadi.

Pada pagi tadi, pemimpin Kristian hadir untuk mengikuti perkembangan kes itu. Kumpulan Islam turut hadir dengan ada yang melaungkan takbir, “Allahuakbar”.

Ada penyokong yang mengikut Poh hingga ke kereta, sementara sebahagian orang Islam melindungi beliau.

Bernama melaporkan Mahkamah Persekutuan pagi tadi memutuskan terdapat peruntukan dalam Ordinan Majlis Islam Sarawak berhubung bidang kuasa Mahkamah Syariah Sarawak untuk mengendalikan kes murtad.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin berkata, mahkamah sebulat suara mencapai keputusan menolak rayuan empat individu di Sarawak bagi meminta mahkamah sivil mendengar kes murtad mereka dan memutuskan ia tiada merit terhadapnya.

Beliau berkata, mahkamah menolak rayuan itu tanpa kos dan memutuskan isu yang dibangkitkan telah diselesaikan dalam kes-kes mahkamah yang lain.

Katanya, walaupun tiada peruntukan bagi murtad tetapi ada peruntukan atas perkara mengenai tindakan memeluk Islam yang bererti Mahkamah Syariah Sarawak mempunyai bidang kuasa terhadap isu murtad, kata Bernama lagi.

Menurutnya, terdapat Seksyen 68 dan 69 Ordinan Majlis Islam Sarawak yang boleh digunakan oleh Mahkamah Syariah Sarawak untuk mendengar perkara berhubung isu murtad dalam Islam.

Keputusan dibuat lima anggota panel hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang, terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop dan Hakim Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Jeffrey Tan serta Tan Sri Ramly Ali.

Semalam mahkamah mendengar penghujahan para peguam tentang sama ada Mahkamah Syariah Sarawak mempunyai bidang kuasa itu kerana tidak dinyatakan dalam Ordinan Mahkamah Syariah 2001 dan persoalan itu dibangkitkan oleh empat individu berkenaan yang memohon perintah mahkamah untuk membatalkan status mereka sebagai beragama Islam dan memaksa Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengiktiraf mereka sebagai beragama Kristian.

Syarifah Nooraffyzza Wan Hosen meninggalkan lslam secara sukarela dan menganut Kristian sementara Tiong Choo Ting @ Mohd Syafiq Abdullah, keturunan Bidayuh Kristian yang memeluk Islam untuk berkahwin dengan wanita Islam, kemudian memutuskan untuk kembali menganut Kristian selepas isterinya meninggal dunia.

Dua orang lagi Salina Jau Abdullah keturunan Kayan/Kenyah Kristian yang memeluk Islam untuk berkahwin dengan lelaki Melayu Islam, kemudian menganut Kristian semula selepas bercerai, dan Jenny Peter @ Nur Muzdhalifah pula, seorang Melanau Kristian yang memeluk Islam untuk berkahwin seorang lelaki Islam juga memutuskan untuk kembali menganut Kristian selepas bercerai.

Keempat-empat mereka meminta interpretasi Mahkamah Persekutuan terhadap Ordinan Mahkamah Syariah Sarawak 2001, dan menamakan pengarah Jabatan Islam Sarawak, Majlis Islam Sarawak, ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara dan kerajaan negeri sebagai responden. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru