Pada musim perayaan seperti Tahun Baru Cina, perayaan Aidilfitri dan Hari Krismas, biasanya kita akan disogok dengan festival jualan murah. Terdapat pasar raya dan peniaga yang menawarkan potongan harga atau diskaun seperti 10%, 30%, 50% dan ada kalanya sampai 70%.

Pada musim Pilihan Raya Umum (PRU), terdapat parti politik yang menggunakan strategi pemasaran yang hampir sama dengan peniaga pasar raya yang terlibat dengan festival jualan murah yang menawarkan pelbagai diskaun.

Bezanya ialah parti politik tidak menjual barangan, sebaliknya mereka menjual janji. Ada janji yang seakan-akan seperti barangan yang diberi diskaun 10%, dan ada yang sampai menawarkan janji seperti pasar raya menawarkan potongan harga sebanyak 70%.

Terdapat empat kategori janji yang biasa kita dengar sepanjang musim PRU di Malaysia.

Pertama, janji membawa kemudahan awam seperti jalan raya, jambatan, balai raya, sekolah, universiti, hospital, rumah ibadat, membina kompleks sukan dan lain-lain;

Gambar fail

Kedua, janji melaksanakan nilai murni seperti mendengar aduan rakyat, selalu turun padang, membawa suara dan rakyat ke parlimen atau DUN, berani menegur dan amanah, menggalakkan rakyat mengadakan maufakat dan seumpamanya;

Ketiga, janji berupa bentuk kerajaan seperti kerajaan berkebajikan, kerajaan Islam, kerajaan inklusif, kerajaan yang mengamalkan urus tadbir yang baik dan adil, kerajaan demokrasi liberal; dan

Keempat, janji abstrak. Contohnya, menawarkan kejayaan di dunia dan akhirat  kepada pengundi yang menyokong parti mereka.

Janji-janji yang dikemukakan oleh calon dan parti-parti politik ini boleh dilihat menerusi manifesto yang mereka uar-uarkan, ucapan-ucapan pemimpin utama parti, kempen yang dibawa oleh jentera mereka, slogan, propaganda  dan iklan-iklan yang digunakan mereka semasa kempen.

Oleh kerana terdapat banyak parti yang mengambil bahagian di PRU-14 yang bakal diadakan sebulan dua lagi, maka kita boleh jangkakan bahawa pengundi-pengundi kita akan berhadapan dengan suatu gelombang janji manis politik yang menyukarkan mereka untuk membuat pilihan, khususnya kepada pengundi yang baru pertama kali memilih.

Dalam bidang pengurusan, ada formula diberikan untuk memilih janji atau sesuatu matlamat yang ditawarkan oleh sesebuah organisasi.

Antara formula yang agak terkenal ialah SMART. Akronim ini merukapan ringkasan kepada S=spesifik, M=boleh diukur/measureable, A=boleh dicapai/achievable, R=relevan, dan T=kena pada masanya/time-bound.

Menggunakan kaedah SMART, penggundi perlu menilai terlebih dahulu adakah janji-janji yang diberikan oleh parti politik yang mereka bakal pilih nanti mempunyai kriteria seperti ada matlamat yang spesifik atau khusus, boleh diukur keberkesanannya, boleh dicapai dengan sumber yang ada kepada parti tersebut, relevan dengan kehendak masyarakat dan boleh dijayakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Jika janji-janji yang diberikan itu tidak memenuhi kriteria SMART maka ia wajar ditolak serta-merta. Menabur janji memang mudah, ibarat menanam tebu di bibir mulut. Parti yang mengutamakan maruah tidak akan menabur janji yang mereka sendiri tidak mampu menunaikannya.

Dalam dunia komersial, pengeluar barangan yang berada dalam ketegori jenama unggul (premium brand) seperti Rolex, BMW dan Apple amat jarang menggunakan strategi pemberian diskaun atau pemotongan harga.

Mereka percaya kepada kualiti produk mereka dan kesetiaan pengguna kepada keunggulan jenama mereka.

Dunia kepartian juga tidak banyak berbeza dengan persekitaran dunia komersial. Ada parti politik yang mengerti kepentingan mempunyai jenama unggul pada kaca mata pengundi di mana persaingan memberi diskaun atau polisi yang bersifat popular bukanlah strategi utama mereka.

Pengguna yang berpengalaman  biasanya tidak akan mudah terpedaya dengan potongan harga yang melampau sehingga mencecah ke tahap 70%.

Lazimnya barang yang diberi diskaun sehingga 70% itu kualitinya amat rendah dan dalam beberapa situasi, stoknya telah habis! — Sarawakvoice