Saturday, October 8, 2022

Pilih calon tepat: Jangan remehkan pengundi Lubok Antu

Secara Rawak

Kerusi Parlimen Lubok Antu, kawasan luar bandar, merupakan kawasan majoriti penduduk Iban yang dahagakan pembangunan.

Lubok Antu, kubu kuat Barisan Nasional (BN) merupakan antara kerusi yang bakal menyaksikan muka baharu dalam pilihan raya umum akan datang.

Jumlah penduduk di bawah naungan Lubok Antu lebih daripada 32, 000 pada masa kini. Dua DUN di bawah naungan Parlimen Lubok Antu  ialahEngkilili dan Batang Ai.  

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu, kedua-dua DUN ini kekal milik BN. Menuju kepada PRU-14, penyandang bagi kerusi Lubok Antu, Datuk William Nyalau Badak hampir pasti tidak dicalonkan lagi.

Ini telah ditegaskan oleh Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Jemut Masing dalam beberapa siri kenyataan media. Beliau mengatakan bahawa Parlimen Selangau dan Lubok Antu akan mengemukakan muka baharu yang mewakili parti itu dalam BN pada PRU -14 yang kunjung tiba.

Foto: Dick Lembang Dugun

 

Mengimbau kembali PRU-13 lalu, Nyalau memenangi 8,278 undi, menewaskan Larry Sng dari Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang meraih 4,187 undi, dan Nicholas Bawin Anggat yang mendapat 2,530.

Ahli Parlimen dua penggal itu yakin  dapat menang dengan majoriti lebih besar jika dicalonkan semula di kawasan terbabit.

Pada PRU-12 beliau menang dengan 1,610 undi, manakala pada PRU majoritinya mengukuh kepada 4,091 undi.

Penyandang, seorang yang amat dekat di hati rakyat serta pemimpin yang sentiasa merendah diri merupakan individu yang di sayangi majoriti pemilih di kawasan Lubok Antu. Pemimpin yang senantiasa merasai denyut nadi rakyat yang diwakili sudah pasti masih mendapat tempat di hati pemilih di Lubok Antu.

Oleh itu, pucuk pimpinan PRS perlu turun ke akar umbi sebelum membuat keputusan yang boleh menyebabkan para pemilih terkilan dengan pilihan anda.  

Ini merujuk kepada kata penganalisis politik terkemuka Profesor Madya Dr Jeniri Amir, denyut nadi, harapan serta pandangan rakyat di akar umbi perlu dititikberatkan atau diambil kira dalam menentukan calon yang boleh menang.

Semantelah, di Parlimen Lubok Antu agak ramai juga nama muka baharu yang diuar-uarkan untuk dicalonkan pada PRU-14, termasuk Ketua Wanita PRS, Datuk Seri Doris Sophia Brodie, seorang peguam, Robert Pasang Alam dan Jugah Muyang yang merupakan mantan Pengerusi PRS Bahagian Pujut.

Persoalannya, adakah muka baharu ini dikenali oleh penduduk atau mendapat penerimaan daripada semua lapisan pengundi di Lubok Antu?  

Adakah antara muka baharu yang hendak diketengahkan ialah calon boleh menang dan mendapat tempat di hati sekitar 18 000 pengundi berdaftar di Lubok Antu?

Ini memerlukan pengamatan yang tuntas dan teliti sebelum membuat keputusan. Selain itu, pihak lawan juga telah bersedia dengan calon mereka dan yang pasti pihak lawan akan mengemukakan calon tempatan yang sudah sebati dengan keluh kesah rakyat di parlimen Lubok Antu.

Sekiranya hendak mengekalkan Lubok Antu pada PRU 14 yang kunjung tiba, faktor calon yang dikemukakan menjadi satu elemen yang amat penting.

Mengamati cakap-cakap di kedai kopi, calon yang datang dari luar kawasan Lubok Antu tidak akan diterima oleh para pengundi.

Dengan kemajuan teknologi, para pengundi di Lubok Antu yang majoritinya kaum Iban sudah matang serta bijak dalam membuat pilihan. –Sarawakvoice 

Penulis ialah penganalisis politik dan pensyarah di Fakulti Sains Sosial,  Universiti Malaysia Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru