Saturday, May 21, 2022

LCCT Kuching hampir jadi kenyataan, namun Abang Jo masih berahsia lokasi

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak hari ini mengesahkan bahawa sebuah lapangan terbang kos rendah (LCCT) akan dibina di Kuching dengan kerjasama syarikat Air Asia Berhad.

Enggan menamakan lokasi lapangan terbang tersebut, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, rundingan sedang dilakukan di antara kerajaan dan Air Asia dalam hal itu.

“Kita sedang meneliti akan keberuntungan cadangan ini kepada negeri kita dan ini bermakna kita bekerjasama dengan pihak yang terlibat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sarawak Dialogue 2018 di Hotel Riverside Majestic di sini.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohd Morshidi Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes.

Tony sebelum itu menyampaikan ucaptama pada majlis dialog yang julung kali diadakan itu.

Menurut Abang Johari, lokasi lapangan terbang itu telah dikenal pasti tetapi tidak dapat didedahkan.

“Ia akan menyebabkan harga tanah melambung tinggi.

Persetujuan diberikan selaras dengan impian Tony mahu Kuching menjadi hub penerbangan murah di rantau ini.

“Kita menyambut baik cadangan ini kerana bagi pihak kita, semakin banyak pelancong datang, maka semakin banyak medan selera dibuka, hotel laris dan industri kotej berkembang,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes ketika menjawab soalan media berkata, pihaknya telah mengadakan rundingan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tan Sri Morshidi) berhubung perkara itu.

“Kita telah mempunyai reka bentuk lapangan terbang ini dan kami telah menyatakan dengan cukup jelas di mana kami akan terbang dan kewujudan hub ini akan dapat membantu kami merendahkan harga tambang.

“Kini kami cuma menunggu ‘lampu hijau’ namun sudah bersedia (untuk terlibat dalam lapangan terbang kos rendah),” jelasnya.

Sarawak katanya, merupakan lokasi yang strategik kerana boleh menjadi hub persinggahan pelancong dari Australia ke Dubai, atau kena China, Korea dan Jepun.

Mengenai tambang mahal pada musim perayaan termasuk pada Tahun Baharu Cina, beliau percaya usaha itu boleh diselesaikan.

“Kami sedar akan isu tersebut, dan ia berkait penawaran dan pembekalan.

“Mungkin kami akan menambahkan jumlah penerbangan untuk membolehkan harga boleh dikawal dan berada dalam jangkauan pengguna,” katanya lagi. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru