Tuesday, August 16, 2022

‘Tidak harus wanita sekadar menjilat setem dan edar risalah, tetapi lelaki akhirnya diundi’

Secara Rawak

KUCHING: Kami mahu diiktiraf dan diberi peluang yang patut diberikan kepada kami.

Menegaskan demikian dalam Bengkel Siapa Siaga, Gerak Gempur Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) di sini semalam, Ketua Wanitanya, Datuk Seri Doris Sophia Brodie berkata, pemimpin parti sedar bahawa golongan wanita juga sama cekap seperti mereka.

“Jangan ambil mudah kami. Jumlah kami kian meningkat setiap jam, hari dan tahun,” tegasnya.

Ujarnya, berdasarkan statistik jumlah wanita di enam kawasan PRS adalah sekitar 50 peratus.

Menurut beliau, Sri Aman mempunyai 50.17 peratus pengundi wanita daripada 32,733 pengundi berdaftar, Lubok Antu, 50.01 peratus daripada 20,758 pengundi, Julau 49.54 peratus daripada 24,936 pengundi, Kanowit  51.54 pengundi wanita daripada 20,959 pengundi, Selangau 50.20 peratus daripada 29,939 pengundi, dan Hulu Rajang 50.36 peratus daripada 27,363 pengundi.

Statistik berkenaan, kata Doris membuktikan wanita ialah penentu bagi semua kawasan yang bakal ditandingi PRS dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kenapa ini berlaku? Sebab, wanita keluar beramai-ramai untuk mengundi, dan memberi semua enam kerusi Parlimen PRS kepada barisan nasional,” tegasnya.

Katanya, tidak harus berlaku kejadian seperti dalam kutipan Clare Booth Luce: “Dalam politik, wanita menaip surat, menjilat setem, mengedarkan risalah dan turun mengundi. Tetapi lelaki diundi! Saya fikir ada sarkasme dalam kutipan itu, dan diharap PRS tidak menjadikan amalan sedemikian sebagai satu budaya,” ujarnya.

Doris turut disebut-sebut sebagai calon PRS, menggantikan Datuk William Nyalau Badak di Lubok Antu.

Presiden PRS Tan Sri James Jemut Masing dalam majlis yang sama semalam mengakui bahawa parti dominan Iban itu akan menampilkan seorang calon wanita dalam PRU-14. –Sarawakvoice 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru