Friday, October 7, 2022

Zahid serlah tiga tanda PRU14 semakin hampir

Secara Rawak

DALAM tempoh tiga bulan ini, tiga bayangan yang dikongsi oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara tidak langsung menggambarkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sudah semakin dekat.

Suhu demam pilihan raya pula semakin meningkat. Berdasarkan bayangan terakhir Ahmad Zahid semalam PRU14 akan diadakan sebelum Aidilfitri.

“Kita ada tiga raya… raya Cina baru lepas. Sebelum raya haji, kita ada raya puasa tapi sebelum raya puasa, kita ada satu lagi ‘raya besar’,” kata beliau dalam bayangan terbaharu.

November lepas, Ahmad Zahid yang memikul peranan timbalan presiden Umno memberi bayangan PRU14 bakal diadakan selepas Tahun Baru Cina yang sedang disambut.

Tarikh mandat Kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional (BN) akan berakhir pada 24 Jun ini. Justeru, PRU14 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh itu.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi bayangan PRU14 akan diadakan sebelum 14 Julai ini. Pengerusi BN itu dipetik berkata bakal haji akan menyambut 2 “raya” terlebih dahulu, sebelum bertolak ke Mekah untuk menunaikan Rukun Islam Kelima.

“14 Julai bererti 2 peristiwa akan terlepas. Pertamanya, Hari Raya Aidilfitri dan hari raya satu lagi. Dua-dua raya baru tuan-tuan naik haji. Kita buat lebih awal supaya tuan-tuan semat dalam hati. “Kalau kerajaan kita masih kekal, insya-Allah tuan-tuan dapat tunai fardhu haji dengan baik, dengan selesa,” katanya pada 2 Februari lalu.

Aidilfitri dijangka disambut pertengahan Jun ini manakala Aidiladha akhir Ogos. Dua hari sebelum itu, Najib berkata beliau masih menunggu ‘ilham’ untuk mencari tarikh sesuai pembubaran Parlimen.

Najib yang juga Presiden Umno berkata, perkara itu tidak menjadi masalah selagi tarikh itu diputuskan sebelum Jun atau Parlimen akan terbubar secara automatik pada bulan yang sama. Katanya, beliau akan memilih tarikh yang sesuai dan melihat perkembangan semasa dalam negara sebelum PRU14 diadakan.

“Apa yang saya tunggu, saya tidak tahu, …saya menunggu cetusan atau apa yang orang Melayu panggil ilham, untuk memikirkan tarikh yang sesuai untuk kami (mengadakan pilihan raya). Kita tunggu sama ada Jun atau lebih awal, kita tunggu bagaimana perkembangannya,” kata beliau selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Satu topik yang tidak asing dalam perbualan peminat-peminat politik setiap hari tidak lain tidak bukan tarikh PRU14.

Pun begitu hanya Najib yang tahu tarikh yang kondusif untuk membubarkan Parlimen, di mana ia akan disusuli dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri, lazimnya termasuk yang dipimpin oleh pembangkang.

Sementara beberapa bayangan sudah diberikan oleh Ahmad Zahid, sama ada PRU14 pada April atau awal Mei akan diketahui akhir minggu depan sebaik sambutan Chap Goh Mei pada 2 Mac. Mengikut jadual Parlimen akan mula bersidang pada 5 Mac dan dijadual dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong. Kecuali Parlimen dibubarkan selepas Parlimen selesai bersidang. Takwim portal Parlimen menunjukkan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen ke-13 akan berlangsung dari 5 Mac hingga 5 April 2018.

Beberapa penganalisis melihat keputusan penangguhan sambutan ulang tahun Hari Keputeraan rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada 23 Mac ini ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak. Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Rahim Ramli berkata, bagaimanapun hari kelepasan am pada hari terbabit dikekalkan.

Beberapa pihak melihat kemungkinan kempen pilihan raya akan berlangsung ketika tempoh itu, dan tidak mahu ia menjejaskan fokus sambutan jika diadakan semasa musim PRU14. Pameran Defence Services Asia (DSA) 2018 akan berlangsung di PWTC dari 16 hingga 19 April ini.

Sekiranya BN tidak menggunakan ‘tingkap’ 60 hari akan datang, BN mempunyai satu lagi tempoh 30 hari selepas 1 Syawal. Bermakna Parlimen akan dibubarkan semasa Ramadan.

Selaku Perdana Menteri, Najib dijangka  membubarkan Parlimen semasa bulan Ramadan. Bermakna pengundian akan diadakan awal Syawal. Walaupun ia satu kemungkinan tetapi bagi kebanyakan ia terlalu tipis. Lebih-lebih selepas Najib memberi jaminan bahawa bakal jemaah haji akan ‘berhari raya PRU14’ sebelum berlepas ke tanah suci.

Kembali kepada tingkap yang ada sebelum bulan Ramadan ini iaitu bulan Mac dan April. Tempoh ini dilihat oleh banyak pihak kemungkinan pembubaran akan menjadi kenyataan.

Adakah tarikh sebelum 5 Mac iaitu sebelum Parlimen kembali bersidang – sama ada 28 Februari ini – di mana lazimnya Parlimen dibubarkan pada hari Rabu, atau kali ini mungkin pada hari Jumaat iaitu 2 Mac, yang merupakan hari kerja terakhir sebelum Parlimen dijadual bersidang.

Jika Parlimen dibubarkan awal Mac bermakna kita akan keluar mengundi sebelum pertengahan April – satu bulan sebelum bulan Ramadan. Kabinet akan dibentuk awal Mei dan Parlimen ke-14 akan bersidang akhir Jun.
Ini semua satu kemungkinan. Apa yang pasti PRU14 akan menemui kita tahun ini!.

Muzammil, Bandar Baru Bangi

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru