Mazwandi, Hafiz akan kembali sertai skuad Sarawak

0
13

KUCHING: “Kami akan terus kekal bersama skuad Sarawak,” jelas dua pemain bola sepak Ngap Sayot yang baru-baru ini direman kerana disyaki ‘mengatur perlawanan’ di antara Sarawak dan Felcra United FC.

Mazwandi Zakeria, 29 tahun dan Mohamad Hafiz Abu Bakar, 28 tahun, dibebaskan semalam setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpuas hati dengan siasatan dan mendapati mereka tidak bersalah.

“Biarpun nama mereka ‘tercalar teruk’ akibat dakwaan skandal ‘terpanas’ dalam Liga Premier musim ini, sebagai pemain profesional, kedua-duanya masih menghormati kontrak yang ditandatangani bersama Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) sebelum saingan liga bermula,” kata peguam bela mereka, Irawan Sudarsono.

Mazwandi yang telah 12 tahun bersama Sarawak, mengikat kontrak selama setahun musim ini, tempoh yang sama dimeterai Mohamad Hafiz atau nama panggilannya, Bulu yang telah dua musim bersama-sama pasukan utama selain bersama Piala Presiden dan pasukan Piala Belia.

“Selepas ini, mereka akan berlatih bersama-sama pemain lain, malah bersedia diturunkan beraksi semula untuk skuad Bujang Senang,” katanya dalam sidang media di Hotel Waterfront, pagi tadi.

Irawan memberitahu, seorang lagi klien mereka, Mohd Zaiman Rosli, 34  tahun, juga sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap FAS berikutan insiden itu.

“Mereka bagaimanapun bersedia bertemu pihak pengurusan FAS bagi berbincang dan mencari jalan penyelesaian kemelut berkenaan.

“Anak guam kami terpaksa berhadapan dengan cemuhan setelah digambarkan seolah-olah seperti ‘penjenayah’, seperti yang dilaporkan dalam media cetak, elektronik termasuk media atas talian.

Meskipun sudah dibebaskan katanya, imej dan reputasi mereka telah tercalar dan berharap nama mereka akan dibersihkan, ujarnya lagi. – Sarawakvoice